PM Anwar nyatakan sokongan kepada Indonesia susuli bencana gunung berapi, jerebu
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim pada Ahad (6 Sep) menyatakan sokongan kepada rakyat Indonesia menyusuli bencana gunung berapi dan cabaran jerebu yang sedang dihadapi negara berkenaan.
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim pada 6 September 2026 menyuarakan sokongan kepada rakyat Indonesia yang sedang berdepan kesan letusan gunung berapi serta masalah jerebu. (Gambar: Facebook/Anwar Ibrahim)
- Anwar Ibrahim menyatakan sokongan kepada rakyat Indonesia yang terjejas akibat bencana gunung berapi dan jerebu.
- Beliau menghubungi mantan Presiden Indonesia, Joko Widodo, yang berada di Pulau Pinang untuk Dialog Keamanan Pulau Pinang.
- Anwar memohon maaf kerana tidak dapat bertemu Jokowi secara langsung kerana komitmen di MAHA 2026 bersama komuniti pertanian.
- Kedua-dua pemimpin menegaskan pentingnya hubungan erat Malaysia-Indonesia demi kesejahteraan rakyat dan keamanan rantau ini.
Encik Anwar berkata perkara tersebut disampaikan beliau ketika menghubungi mantan Presiden Indonesia Joko Widodo, atau lebih dikenali sebagai Jokowi, yang kini berada di Pulau Pinang bagi menghadiri Dialog Keamanan Pulau Pinang.
Menerusi satu catatan di laman Facebook beliau pada Ahad, Encik Anwar berkata perbualan yang berlangsung dalam suasana mesra itu turut menyaksikan kedua-dua pemimpin bertukar khabar.
Encik Anwar turut memohon maaf kerana tidak dapat menyantuni Encik Jokowi secara langsung di Pulau Pinang berikutan program bersama dengan petani, penternak, peladang dan masyarakat pertanian pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang dijadualkan lebih awal.
“Malaysia dan Indonesia bukan sekadar negara jiran, tetapi dua bangsa serumpun yang diikat sejarah, budaya dan persaudaraan yang akrab.
“Amanah dan kedudukan boleh silih berganti, namun persahabatan dan rasa hormat akan terus kekal,” kata Encik Anwar sambil menegaskan bahawa ikatan tersebut akan terus dipelihara demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara serta kemakmuran rantau ini.
Menurut laporan berita agensi nasional ANTARA, Encik Jokowi menghadiri Dialog Keamanan Pulau Pinang yang berlangsung di George Town serta menyampaikan pandangannya tentang peranan pemimpin dan rakyat dalam membina asas keamanan pada majlis makan malam gala, pada Sabtu malam.
Mantan Presiden ketujuh Indonesia itu juga menyampaikan ucaptama pada forum berkenaan, pada Ahad.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.