PM Anwar nafi sorok dokumen tambahan permohonan pengampunan Najib
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan tidak menyembunyikan dokumen tambahan (adendum) berhubung permohonan pengampunan mantan Perdana Menteri Najib Razak.

(Gambar: Facebook/Anwar Ibrahim)
PM Anwar berkata ini kerana perkara berkaitan adendum bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah tidak dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 2023.
“Saya ahli pada 2023, kerana saya pada masa itu menjalankan tugas Menteri Wilayah Persekutuan," kata beliau ketika berucap di Program Muhibbah MADANI 2025 di Majlis Bandaraya Seberang Perai pada Sabtu (11 Jan).
“Dalam mesyuarat saya ada, benda ini (adendum) tak dibangkitkan semasa saya ada, semasa Dr Zaliha Mustafa (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) ada, benda ini (juga) tak dibangkitkan, itu keadaannya, bukan kita sorok."
PM Anwar berkata beliau perlu menjawab dakwaan terhadap kerajaan berhubung dokumen yang dikatakan itu kerana ia berkaitan undang-undang yang perlu betul-betul difahami.
Dokumen adendum bagaimanapun, tambah beliau, telah dihantar kepada Peguam Negara dan bukan kepadanya serta bukan ahli Lembaga Pengampunan.
"Peguam Negara (ketika itu) kemudian bila Agong bertukar, diserah kepada Istana Negara, kerana Agong yang pengerusikan (Lembaga Pengampunan). Itu keadaan dia, bukan kita sorok," ujarnya.
PM Anwar berkata beliau kemudiannya membawa agenda berhubung tahanan rumah Najib kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
"Dalam kes Najib, saya yang bawa agenda ini sebab walaupun saya tidak setuju dengan orang itu, kita perlu beri peluang kepada Agong beri pertimbangan terhadap rayuannya.
"Dulu saya tidak mahu sebut dan bahas hal ini sebab ia melibatkan Raja," katanya.
Pada 3 Jan lalu, Istana Negara dalam kenyataan memaklumkan mana-mana pihak yang ingin mencadangkan supaya mana-mana banduan untuk diberi keampunan atau pengurangan hukuman, permohonan itu hendaklah dikemukakan oleh banduan berkenaan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong pada mesyuarat akan datang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.