Skip to main content

Dunia

PM Anwar nafi sebarang kaitan dengan emel Jeffrey Epstein

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim hari ini (2 Feb) menafikan beliau mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kes pembiaya kewangan Amerika Syarikat mendiang Jeffrey Epstein.

Menerusi catatan di X, Encik Anwar secara ringkas berkata beliau baru hari ini menyedari ada pihak luar yang mahu bertemunya dan memetik namanya dalam pertukaran e-mel berkaitan kes tersebut.

"Alhamdulillah, dah belasan tahun seperti yang disebut dalam emel, dan saya langsung tiada kaitan dengan mana-mana pihak yang berbalas emel tu, terutama Epstein.

“Ok, saya nak sambung jalan-jalan di Johor Bahru," katanya yang tiba di Johor Bahru petang tadi dengan menaiki ETS3 dari Kuala Lumpur. 

Dalam catatan itu, Encik Anwar turut menyertakan tanda pagar #DoneExplain sebagai tanda sudah menjelaskan isu tersebut.

Kenyataan itu dipercayai dikeluarkan menyusuli tuntutan Armada Bersatu supaya Encik Anwar memberikan penjelasan berhubung dakwaan pernah berinteraksi secara langsung atau tidak langsung dengan Epstein atau mana-mana individu sebagaimana pendedahan dokumen rasmi Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) yang terkandung dalam arkib Epstein Files.

Menurut laporan media, dokumen dan surat-menyurat berkaitan kini dikeluarkan oleh DOJ sebagai sebahagian daripada usaha ketelusan dalam siasatan terhadap Epstein.
Sumber : Bernama/NK/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita