Skip to main content

Dunia

PM Anwar mahu tindakan segera terhadap isu stoking kalimah Allah

Anggaran Waktu Membaca:
PM Anwar mahu tindakan segera terhadap isu stoking kalimah Allah

Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim. (Gambar: Zulfadhli Zulkifli/BERNAMA)

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim mahu tindakan segera diambil mengikut undang-undang ditetapkan berhubung penjualan stoking tertera kalimah Allah di rangkaian kedai serbaneka baru-baru ini. 

Bercakap kepada para wartawan semasa Majlis Berbuka Puasa MADANI bersama pengamal media di Putrajaya pada Rabu (20 Mac), Encik Anwar yang juga Menteri Kewangan mengingatkan semua pihak agar tidak sesekali melakukan penghinaan terhadap agama Islam.  

“Pandangan saya jelas, ada laporan keterlanjuran mesti ada tindakan segera, keputusan ikut jalur hukum dan maju terus, kenapa kita harus terperangkap dengan isu ini berpanjangan?

“Ada laporan ambil tindakan, jangan ada penghinaan terhadap agama … apa lagi Islam, jadi jangan kita terus-menerus dengan perbincangan ini seolah-olah ia satu malapetaka besar di dalam negara,” katanya sambil menambah sekiranya tindakan segera dilaksanakan, semua pihak perlu berlapang dada.

Baru-baru ini, video dan tangkap layar gambar stoking yang tertera kalimah Allah tular menerusi media sosial yang didakwa dijual di sebuah kedai rangkaian serbaneka di Petaling Jaya, Selangor sehingga menimbulkan kemarahan umat Islam. 

Pihak terlibat sudah membuat permohonan maaf dan setakat ini, 80 aduan polis telah dibuat di seluruh Malaysia. Polis juga sudah merakam keterangan lapan individu termasuk pemilik dan pengasas KK Supermart & Superstore Sdn Bhd berhubung isu itu.

Mengenai perbezaan pendapat dalam kalangan pimpinan Kerajaan Perpaduan berhubung isu itu,Encik Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan berkata, mana-mana pemimpin boleh memberikan pandangan, namun diingatkan agar tidak terlanjur menghukum dan mengikut pemikiran sempit.

“Dalam kerangka badan politik yang bebas dan demokratik, tidak boleh ikut sistem wala’ (kerana) dalam parti yang wala’ yang kekang pemikiran bebas, ia tidak izinkan … masalah ada, tindakan diambil dan maju terus,” katanya.

Konsep wala' yang diamalkan dalam sesebuah organisasi politik bermaksud kesetiaan.

Encik Anwar menegaskan apa jua bentuk hukuman yang diberikan hendaklah dalam bentuk yang tidak melampau. 

“Ada orang lakukan kesalahan seperti kita juga lakukan kesalahan, kadang-kadang kecuaian. Jadi, jangan ikut seolah-olah mendera orang lebih daripada yang sepatutnya,” katanya.
 
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita