Skip to main content

Dunia

PM Anwar lancar Malaysia Digital 2030, sasar 30% sumbangan ekonomi digital bagi pertumbuhan GDP

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim pada Isnin (29 Jun) melancarkan program Malaysia Digital 2030 (MD2030), iaitu satu rangka tindakan nasional bagi tempoh 2026-2030, yang menandakan peralihan ketara tumpuan negara daripada pengguna teknologi kepada pengeluar inovasi tempatan.

Anggaran Waktu Membaca:
PM Anwar lancar Malaysia Digital 2030, sasar 30% sumbangan ekonomi digital bagi pertumbuhan GDP

PM Anwar menerima Buku Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 Ke Arah Negara AI daripada Menteri Digital Gobind Singh Deo (dua, kanan) pada Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 (MD2030). (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 29 Jun 2026 02:20PM Dikemas Kini : 29 Jun 2026 02:21PM
  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim melancarkan Malaysia Digital 2030 (MD2030) di Putrajaya pada 29 Jun, dengan kehadiran beberapa menteri utama dan pegawai kerajaan.
  • MD2030 bertujuan menjadikan Malaysia pengeluar inovasi digital, menyasarkan 30 peratus sumbangan ekonomi digital kepada KDNK dan 500,000 pekerjaan bernilai tinggi menjelang 2030.
  • Rangka tindakan ini meliputi tujuh teras utama seperti kerajaan, ekonomi, infrastruktur, bakat, masyarakat, kepercayaan dan keselamatan serta inovasi, dengan setiap teras diterajui kementerian berkaitan.
  • Kementerian Digital mengetuai pelaksanaan bersama agensi seperti GovTech Malaysia dan MDEC, dengan penekanan kepada transformasi digital yang inklusif, selamat dan berimpak sosial untuk seluruh rakyat.
Dijana oleh AI
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim pada Isnin (29 Jun) melancarkan program Malaysia Digital 2030 (MD2030), iaitu satu rangka tindakan nasional bagi tempoh 2026-2030, yang menandakan peralihan ketara tumpuan negara daripada pengguna teknologi kepada pengeluar inovasi tempatan.

Majlis pelancaran turut dihadiri Menteri Digital Gobind Singh Deo, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar.

Menurut kenyataan Kementerian Digital, rangka tindakan itu menggariskan sasaran nasional yang komprehensif menjelang 2030, iaitu 30 peratus sumbangan ekonomi digital kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP); 500,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi dalam ekonomi digital; penjimatan RM4.5 bilion (S$1.4 bilion) bagi sektor awam hasil pendigitalan, dan 95 peratus perkhidmatan kerajaan disediakan secara online dari hujung ke hujung.

Kementerian Digital dilantik sebagai kementerian peneraju yang bertanggungjawab memandu hala tuju strategik negara bagi mencapai agenda ke arah Negara AI 2030.

Menurut pihak kementerian, MD2030 digerakkan melalui tujuh bidang utama, iaitu kerajaan, ekonomi, infrastruktur, bakat, masyarakat, kepercayaan dan keselamatan serta inovasi, dengan setiap teras diterajui kementerian berkaitan bagi memastikan pelaksanaan bersepadu melalui pendekatan menyeluruh kerajaan.

Setiap teras akan diketuai seorang Ketua Kelompok, termasuk Teras Kerajaan yang diterajui oleh Shamsul Azri, Teras Ekonomi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Johari Abdul Ghani, Teras Infrastruktur (Fahmi); Teras Bakat (Menteri Sumber Manusia R.Ramanan); Teras Masyarakat (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri); Teras Kepercayaan dan Keselamatan (Gobind) dan Teras Inovasi (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang).

Di bawah Teras Kerajaan, tumpuan diberikan kepada langkah memperkenal dan mempertingkat penyampaian perkhidmatan awam melalui penubuhan GovTech Malaysia.

Teras Ekonomi pula menumpukan usaha memacu Malaysia sebagai hab inovasi dan perdagangan digital serantau melalui produk “Made by Malaysia”, adaptasi teknologi dalam Sektor Pertumbuhan dan Nilai Tinggi (HGHV), serta merealisasikan potensi data, aset digital dan Harta Intelek (IP).

Teras Infrastruktur pula tertumpu kepada ketersambungan Internet yang bermutu di seluruh negara serta membangunkan infrastruktur digital masa hadapan yang mampan, termasuk pusat data, pengkomputeran awan, dan bandar pintar.

Di bawah Teras Bakat, ia bertujuan memastikan tenaga kerja negara bersedia untuk ekonomi digital melalui kerangka dasar bakat yang menyeluruh, peralihan tenaga kerja yang tangkas, serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab bakat digital serantau dan global.

Bagi Teras Masyarakat pula, kerajaan akan memastikan pelibatan inklusif semua rakyat dalam ekosistem digital melalui langkah memantapkan Indeks Keterangkuman Digital Malaysia, pemerkasaan komuniti luar bandar dan huraian digital berimpak sosial.

Di bawah Teras Kepercayaan dan Keselamatan, kerajaan akan mengimbangi antara keselamatan digital dan keperluan inovasi melalui pengoperasian Suruhanjaya Data Negara serta pembangunan Strategi Kepercayaan Digital Negara 2026-2030.

Teras Inovasi pula akan memperkukuh rangkaian inovasi daripada peringkat penyelidikan sehingga pengkomersialan melalui ekosistem penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan, inovasi dan ekonomi (R, D, C, I & E) yang mantap bagi menyokong peralihan negara menjadi pencipta teknologi digital.

Sementara itu, Encik Gobind dalam kenyataan sama berkata pelancaran MD2030 bukti jelas bahawa Malaysia kini sedia beralih daripada sekadar pengguna teknologi kepada sebuah negara pengeluar inovasi digital yang disegani.

"Sebagai kementerian peneraju, Kementerian Digital bukan sahaja memikul tanggungjawab untuk mencapai sasaran ekonomi yang holistik, tetapi kami komited memastikan transformasi ini dibina atas asas kepercayaan, keselamatan data dan tadbir urus yang utuh.

"Melalui pendekatan menyeluruh kerajaan (Whole-of-Government), kementerian akan memastikan gerak kerja agensi di bawah kementerian ini dilaksanakan secara bersepadu dan tuntas," katanya.

Menurut kementerian, pelaksanaan MD2030 akan diselaraskan bersama agensi di bawahnya termasuk Pejabat AI Kebangsaan (NAIO); Jabatan Digital Negara atau GovTech Malaysia; Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC); CyberSecurity Malaysia; MyDIGITAL Corporation dan Malaysia Centre for the Fourth Industrial Revolution (MYCentre4IR).

Menurut kenyataan itu, keberhasilan MD2030 bakal membentuk acuan masa hadapan Malaysia yang berteraskan identiti dan ciri-ciri Negara AI yang progresif, iaitu AI disepadukan dalam setiap aspek kehidupan; data menjadi aset strategik negara; sistem bersifat pintar dan autonomi, manakala rakyat pula berkembang maju bersama teknologi.

"Kerajaan MADANI terus komited memastikan fasa pelaksanaan ini bukan sahaja meletakkan Malaysia sebagai jaguh digital serantau, malah membawa impak transformasi yang inklusif dan saksama untuk seluruh rakyat," menurut kenyataan itu.
Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita