Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PM Anwar, Jokowi setuju kukuhkan hubungan M'sia-Indonesia

Kedua-dua pemimpin itu juga bertekad untuk segera menyelesaikan beberapa isu berbangkit yang belum ditangani, antaranya isu tenaga kerja Indonesia dan pendidikan anak mereka di Malaysia, penyelarasan pengambilan pekerja dan persempadanan.

Anggaran Waktu Membaca:
 PM Anwar, Jokowi setuju kukuhkan hubungan M'sia-Indonesia

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim (kiri) bersama Presiden Indonesia Joko Widodo mengadakan sidang media bersama selepas mesyuarat dua hala mereka pada 9 Jan 2023 di Istana Bogor Jawa Barat. (Gambar: BERNAMA)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia Joko Widodo sepakat untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia.

Kedua-dua pemimpin itu juga bertekad untuk segera menyelesaikan beberapa isu berbangkit yang belum ditangani, antaranya isu tenaga kerja Indonesia dan pendidikan anak mereka di Malaysia, penyelarasan pengambilan pekerja dan persempadanan.

Dalam kenyataan bersama selepas pertemuan di Istana Bogor pada Isnin (9 Jan), Encik Anwar dan Encik Jokowi juga sepakat pelbagai perbincangan yang belum diputuskan diselesaikan segera dan perjanjian ditandatangani tahun ini.

Encik Anwar memberi komitmen memastikan isu perlindungan terhadap pekerja-pekerja dari Indonesia diberi keutamaan selain berusaha untuk memastikan urusan kemasukan pekerja dari Indonesia dipermudahkan, lapor Astro Awani.

"Kita akan berusaha menghindari isu-isu yang boleh merenggang dan meretakkan hubungan kerana saya mahu hubungan Malaysia dan Indonesia ini istimewa," kata Encik Anwar.

"Soal Tenaga Kerja Indonesia (TKI) ini mengguris perasaan ramai rakyat Indonesia bukan hanya pemerintah dan saya tahu benar kerana saya berpengalaman di penjara yang sama, mendengar kesan 'cambokan' terhadap mereka dan saya fikir ini tidak manusiawi dan pada tahun 2022 cambokan sudah dihentikan."

"Tetapi itu bukan penyelesaian, penyelesaian perkara ini harus menyeluruh supaya nasib pekerja dapat dibela."

"Soal agensi pekerja harus pemudahkan tidak mengambil keuntunagn berlebihan untuk menekan pekerja dan digitalisasi unit ini sangat penting kerana ia akan mengurangkan kerenah birokrasi dan mengurangkan penggunaan ejen," tambahnya.

Encik Anwar berkata, Malaysia tidak mahu isu berkaitan terus berpanjangan yang menjejaskan usaha dua negara untuk mencapai kesepakatan demi kepentingan rakyat dan kedua-duanya negara.

Mengulas isu persempadanan, Encik Anwar menjelaskan sudah banyak mesyuarat dan rundingan diadakan, namun masih banyak belum diselesaikan dan Malaysia berharap ia dapat diputuskan dengan perjanjian kerjasama.

"Hal-hal perbatasan sebagainya, tentunya kita akan teliti dan laksanakan. Dari taklimat yang saya perolehi tidak terlalu banyak kerumitannya hanya memerlukan tekad yang jelas."

"InsyaAllah dalam masa terdekat saya akan bawa ke jemaah menteri berhubung perkara ini," katanya lagi.

Sebelum itu, kedua-dua pemimpin bertukar-tukar buah fikiran di beranda Istana Bogor selepas Encik Anwar diberikan sambutan negara dalam lawatan rasmi beliau ke Indonesia.
Sumber : Agensi berita/AE/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan