Skip to main content

Dunia

PM Anwar Ibrahim mahu murid M'sia dilatih bersihkan sendiri tandas sekolah

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim membuat teguran bahawa kebanyakan tandas sekolah di negara itu tidak terjaga dan dibaik pulih sebaiknya.

Encik Anwar berkata, beliau sudah mengarahkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memeriksa tandas-tandas sekolah bagi memastikan setiap murid bertanggungjawab terhadap kebersihan dan mendapat kemudahan yang selesa, lapor Sinar Harian.

"Bila saya suruh Fadhlina (Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek) periksa tandas di sekolah-sekolah, banyak yang rosak, berpuluh tahun tiada siapa peduli."

"Bagaimana kita nak hantar anak ke sekolah kalau tandas rosak. Anak kita manusia, bukan dewa yang tak perlu ke tandas," katanya ketika berucap semasa Majlis Perasmian D'Anjung Selera Madani di Bandar Tun Razak pada Sabtu (3 Jun).

Dalam pada itu, Encik Anwar mengingatkan supaya murid-murid sekolah tidak mengambil mudah isu kebersihan serta keselesaan tandas, seperti dipetik Sinar Harian.

Oleh demikian, beliau menyarankan agar kanak-kanak dididik untuk mencuci kemudahan tersebut.

"Dahulu sewaktu saya Menteri Pendidikan, saya arahkan semua sekolah buat giliran bersihkan tandas."

"Ada ibu bapa profesional, golongan atasan hantar telegram kepada saya (membantah); menteri, saya hantar anak saya belajar di sekolah bukan untuk mencuci tandas."

"Saya kata arahan tersebut bertujuan untuk mendidik murid-murid tentang kebersihan serta menghormati orang lain termasuk pencuci tandas," katanya.

Sebagai rekod, Encik Anwar menyandang jawatan sebagai Menteri Pendidikan pada tahun 1986 ketika era pentadbiran mantan Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita