Skip to main content

Dunia

PM Anwar Ibrahim lakukan lawatan rasmi 2 hari ke Brunei

Anggaran Waktu Membaca:
PM Anwar Ibrahim lakukan lawatan rasmi 2 hari ke Brunei

Ketibaan Encik Anwar Ibrahim dan Dr Wan Azizah di Brunei disambut Putera Mahkota Brunei Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah. (Gambar: Bernama)

BANDAR SERI BEGAWAN: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim tiba di Brunei bagi lawatan rasmi dua hari.

Lawatan rasmi kedua ke luar negara Encik Anwar sejak memegang jawatan Perdana Menteri itu ditemani isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Penerbangan khas membawa Encik Anwar dan isteri, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pada pukul 3.13 petang.

Ketibaan Encik Anwar dan Dr Wan Azizah disambut Putera Mahkota Brunei Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah.

Perdana Menteri itu kemudian memeriksa perbarisan kawalan kehormatan yang terdiri daripada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Turut hadir di lapangan terbang ialah Menteri Luar Dr Zambry Abdul Kadir, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Amran Mohamed Zin dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Raja Reza Raja Zaib Shah.

Pada Rabu (25 Jan), Encik Anwar dijadualkan untuk menghadap Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman, dan kedua-dua pemimpin kemudiannya akan mengadakan pertemuan empat mata.

Kedua-dua pemimpin dijangka akan mengambil peluang untuk menilai kemajuan kerjasama yang sedang berjalan, di samping mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Encik Anwar dan Sultan Brunei juga akan menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Agensi Pelaburan Brunei (BIA).

Selain itu, Encik Anwar akan menghadiri majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di Brunei, pada Selasa malam.

Sementara itu, Encik Anwar menerusi catatan di Facebook pada Selasa menyuarakan harapan agar lawatan beliau ke Brunei kali ini akan dapat memperkukuhkan lagi hubungan kedua-dua negara.

“Saya mengharapkan lawatan ini akan dapat memperkukuhkan lagi hubungan kedua-dua negara di samping meneroka peluang kerjasama baru. Insya-Allah,” katanya.
 
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita