Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PM Anwar Ibrahim dijangka bentang bajet mini dengan peruntukan hampir RM56 bilion

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim dijangka akan membentangkan bajet mini, membabitkan peruntukan berjumlah hampir RM56 bilion (S$17 bilion).

Perkara itu terkandung dalam urusan kesembilan Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-Usul Dewan Rakyat, yang akan berlangsung selama dua hari, bermula pada Isnin (18 Dis), seperti dinukil BH Online.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat itu, wang berjumlah RM55,959,213,200 (S$17 bilion) dicadang dikeluarkan daripada Kumpulan Wang Pembangunan bagi 2023 untuk perbelanjaan segera, sementara menunggu Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Tahun 2023 diluluskan.

Pada 24 November lalu, Encik Anwar yang juga Menteri Kewangan Malaysia memaklumkan, kerajaan akan membentangkan rang undang-undang (RUU) belanjawan mini pada 19 Disember bagi meluluskan emolumen berkaitan belanja mengurus kerajaan, khususnya gaji penjawat awam, lapor BH Online.

Katanya lagi, kelulusan emolumen itu penting bagi memastikan tiada kebimbangan dalam kalangan penjawat awam berhubung gaji, berikutan Bajet 2023 masih belum diluluskan.

Selepas kelulusan RUU mini itu katanya, kerajaan dijangka akan membentangkan belanjawan susulan yang menyeluruh, kira-kira sebulan selepas sidang Parlimen berkenaan.

Pada 7 Oktober lalu, Menteri Kewangan di bawah pimpinan kerajaan sebelum ini, Tengku Zafrul Abdul Aziz, membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, bajet itu tidak sempat untuk dibahas dan diluluskan selepas mantan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober.

Menyusuli pembubaran Parlimen, Bajet 2023 perlu dibentangkan semula di Dewan Rakyat secepat mungkin bagi memastikan belanjawan mengurus kerajaan awal tahun depan diluluskan.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan