Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PM Anwar Ibrahim dijadual lawat SG jelang hujung Jan

Anggaran Waktu Membaca:
PM Anwar Ibrahim dijadual lawat SG jelang hujung Jan

(Gambar fail: CNA/Fadza Ishak)

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim dijadual akan melakukan lawatan rasmi ke Singapura menjelang hujung Januari, menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Menteri Luar Malaysia Zambry Abdul Kadir pada Selasa (17 Jan).

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Dr Zambry dan rakan sejawatannya dari Singapura, Dr Vivian Balakrishnan mengadakan rundingan di Kuala Lumpur pada Isnin (16 Jan).

Dr Balakrishnan kini berada di Malaysia bagi melakukan lawatan selama empat hari ke negara itu. Ia sekali gus merupakan lawatan rasmi Dr Balakrishnan yang pertama ke Malaysia sejak Encik Anwar Ibrahim menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada November tahun lalu.
Dalam kenyataannya, Dr Zambry turut mendedahkan bagaimana kedua-dua menteri saling "menegaskan semula hubungan yang sangat baik dan terjalin lama" antara kedua-dua negara tersebut.

"Kami komited untuk meneruskan pendampingan yang positif melalui mekanisme dua hala sedia ada dan menumpukan perhatian kepada usaha menghuraikan isu-isu secara harmoni dan mencari penyelesaian dengan cara yang baik untuk memelihara hubungan dua hala Malaysia-Singapura yang kukuh," kata Dr Zambry.

Menurut Dr Zambry, mereka berdua juga membincangkan bagaimana kedua-dua negara boleh meneruskan usaha untuk mengukuhkan lagi hubungan.

Beliau menambah bahawa kedua-dua menteri itu juga menyentuh tentang lawatan rasmi Encik Anwar ke Singapura yang dijadualkan sebelum hujung bulan ini termasuk lawatan negara Presiden Halimah Yacob ke Malaysia yang dijangka akan diadakan pada Mac nanti.

Dr Zambry turut mendedahkan bahawa beliau dan Dr Balakrishnan saling menekankan betapa pentingnya usaha untuk terus mengukuhkan hubungan yang sudah sekian lama terjalin antara kedua-dua negara itu dan ini termasuk usaha di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Encik Anwar.

Menyusuli pelantikan Encik Anwar sebagai perdana menteri pada November 2022, Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengucapkan tahniah kepada Encik Anwar dan mengundangnya untuk melakukan lawatan ke Singapura dalam masa terdekat.

Sebagai sebahagian daripada lawatan rasminya ke Malaysia minggu ini, Dr Balakrishnan juga mengadakan pertemuan dengan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ahmad Shah pada Isnin (16 Jan).
Menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Isnin, Agong dan Dr Balakrishnan "mengesahkan lagi hubungan dua hala yang sangat erat" antara Singapura dan Malaysia, serta komitmen kedua-dua negara untuk mengukuhkan kerjasama.

Dr Balakrishnan juga mengadakan pertemuan dengan Dr Zambry di mana kedua-dua pemimpin itu menarik perhatian kepada kemajuan baik yang dicapai bagi projek Sistem Transit Laju Johor Bahru-Singapura.

Kedua-dua pemimpin juga mengalu-alukan pelancaran projek itu pada hujung 2026.

Menurut MFA, Dr Balakrishnan and Dr Zambry juga membincangkan bagaimana kedua-dua negara boleh memperluaskan kerjasama termasuk dalam bidang-bidang baru seperti ekonomi digital dan hijau.

Dr Balakrishnan juga mengundang Dr Zambry untuk mengadakan lawatan rasmi ke Singapura dalam masa terdekat, menurut MFA.
Sumber : CNA/SS/ss

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan