Skip to main content

Dunia

PM Anwar hadiri sidang puncak tergempar Arab-Islam di Doha

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim tiba di Doha untuk menghadiri Sidang Puncak Tergempar Arab-Islam, yang akan disertai pemimpin dan wakil negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada Isnin (15 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
 PM Anwar hadiri sidang puncak tergempar Arab-Islam di Doha

Sejurus tiba Perdana Menteri Anwar Ibrahim menerima kawalan kehormatan daripada Pengawal Istiadat Amiri dan disambut Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Qatar Sheikh Saoud bin Abdulrahman Al Thani. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 15 Sep 2025 09:47AM Dikemas Kini : 15 Sep 2025 09:48AM
DOHA: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim tiba di Doha untuk menghadiri Sidang Puncak Tergempar Arab-Islam, yang akan disertai pemimpin dan wakil negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada Isnin (15 Sep).

Pesawat khas membawa Encik Anwar mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad pada pukul 9.30 malam Ahad waktu tempatan (2.30 pagi Isnin waktu tempatan).

Encik Anwar menghadiri sidang puncak tergempar itu atas jemputan Amir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, susulan perkembangan terkini membabitkan serangan Israel terhadap negara itu.

Sejurus tiba, Encik Anwar menerima kawalan kehormatan daripada Pengawal Istiadat Amiri dan disambut Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Qatar Sheikh Saoud bin Abdulrahman Al Thani.

Turut hadir Menteri Luar Malaysia Mohamad Hasan serta Duta Besar Malaysia ke Qatar Faizal Razali.

Delegasi PM Anwar disertai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Luar.

Sebelum ini, pesawat membawa Encik Anwar dan delegasi berlepas dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, pada pukul 7.00 malam waktu Malaysia.

Pada sidang puncak itu, Encik Anwar dijadual menyampaikan Kenyataan Negara bagi menegaskan pendirian tegas Malaysia bahawa keamanan serantau dan dunia terancam sekiranya Israel terus mencabul undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kedaulatan negara.

Wisma Putra dalam kenyataan pada Sabtu (13 Sep) memaklumkan penyertaan PM Anwar dalam persidangan berkenaan menunjukkan sokongan penuh dan perpaduan terhadap Qatar, selain kesinambungan usaha Malaysia mempertahankan hak rakyat Palestin serta mengecam kekejaman dan keganasan Israel.

Menurut kenyataan itu, satu ketetapan yang menggariskan tindakan dan pendirian bersama negara anggota dalam menangani perkembangan tersebut dijangka diluluskan pada sidang puncak berkenaan.

Sidang Puncak Tergempar Arab-Islam itu didahului dengan Mesyuarat Persediaan Peringkat Menteri Arab-Islam awal Ahad (14 Sept).

Persidangan itu antara lain akan membincangkan perkembangan mutakhir di Gaza, Palestin dan serangan ganas Israel ke atas wilayah berkenaan yang sebelum ini disifatkan Encik Anwar sebagai amat melampau.

Menurut laporan media antarabangsa, sidang puncak itu diadakan bagi membincangkan serangan Israel ke atas Doha pada 9 September lalu yang didakwa menyasarkan kepimpinan politik Hamas yang ketika itu bermesyuarat mengenai cadangan gencatan senjata Gaza disokong Amerika Syarikat.

Serangan di kawasan Leqtaifiya itu melibatkan kira-kira 15 jet pejuang Israel, mengorbankan enam orang termasuk anak kepada pemimpin kanan Hamas Khalil al-Hayya, pengarah pejabatnya serta seorang pegawai keselamatan Qatar, sementara pemimpin utama Hamas dilaporkan terselamat.
Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita