Skip to main content

Dunia

PM Anwar gesa rakyat Malaysia terus yakin terhadap sistem kerajaan persekutuan

Anggaran Waktu Membaca:
PM Anwar gesa rakyat Malaysia terus yakin terhadap sistem kerajaan persekutuan

(Gambar fail: Philip Fong/AFP)

Diterbitkan : 08 Nov 2024 12:28PM Dikemas Kini : 08 Nov 2024 12:30PM
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim menyeru rakyat meletakkan keyakinan kepada sistem kerajaan persekutuan, yang menurutnya terbukti sebagai alat berkesan untuk menguruskan hubungan antara pusat dan negeri sejak enam dekad lalu.

"(Sistem ini) akan terus diamalkan sehingga beberapa dekad akan datang. Ini sistem yang kita warisi, dan saya rasa dalam proses ini, kita perlu pastikan kita matang," kata Encik Anwar dalam wawancara eksklusif bersama FMT.

Beliau berkata, Putrajaya sentiasa berdepan tuntutan daripada pelbagai kumpulan, lapor Berita Harian Malaysia.

"Yang pertama, (golongan) profesional Islam, kumpulan gereja, golongan Tamil dan Hindu. Itulah realitinya. Kemudian di Sabah dan Sarawak pula, ada tuntutan baharunya," katanya.

TIADA MASALAH HUBUNGAN PUTRAJAYA DENGAN NEGERI

Bagaimanapun, Encik Anwar berkata beliau tidak melihat hubungan sedia ada antara Putrajaya dengan mana-mana negeri atau kumpulan sebagai 'menyusahkan atau bermasalah'.

"Kita perlu pastikan proses rundingan (berasaskan) kepercayaan, persefahaman dan rasa hormat ini berterusan."

Beliau turut ditanya tentang bagaimana perpaduan negara boleh diperkukuh dalam menghadapi desakan yang semakin lantang daripada beberapa negeri agar autonomi lebih besar diberikan.

"(Malaysia ialah) sistem berpersekutuan. Kita kemudi, kita runding, tetapi kita juga tetapkan batasnya.

"Kita perlu perkasakan negeri-negeri ini dari mana-mana segi yang perlu. Pada masa yang sama, negeri boleh buat tuntutan. Kadang-kadang mereka ada keupayaan, kadang-kadang tidak," katanya, seperti dinukil Berita Harian Malaysia.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa negeri berusaha menuntut bahagian yang lebih besar daripada hasil negara.

Awal tahun ini, Pulau Pinang dan Johor menyatakan hasrat menuntut semula sekurang-kurangnya 20 peratus daripada cukai yang dikutip manakala Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak mendesak untuk memperoleh bahagian royalti lebih besar daripada hasil minyak.

Sementara itu, Persatuan Undang-Undang Sabah mengambil tindakan undang-undang untuk mendapatkan hak negeri ke atas 40 peratus bahagian hasil persekutuan yang dikutip daripada negeri itu, seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sarawak juga mempergiatkan usaha untuk meningkatkan hasil negeri dengan cuba mendapatkan kawalan lebih besar ke atas sumber minyak dan gas, sama ada di dalam atau luar pesisir.

Sebagai respons, kerajaan persekutuan mengumumkan penggandaan geran khas untuk Sabah dan Sarawak dalam Belanjawan 2025.

Premier Sarawak Abang Johari Openg mengiktiraf persefahaman yang semakin mendalam antara pemimpin persekutuan dan negeri dalam isu berkaitan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita