Skip to main content

Dunia

PM Anwar gesa penjawat awam beri khidmat jauh lebih baik setimpal kenaikan gaji

Anggaran Waktu Membaca:
PM Anwar gesa penjawat awam beri khidmat jauh lebih baik setimpal  kenaikan gaji

(Gambar: Facebook/Anwar Ibrahim)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim pada Selasa (6 Ogos) mahu semua penjawat awam memberikan perkhidmatan yang jauh lebih baik kepada rakyat, selari dengan kenaikan gaji yang akan diumumkan kerajaan.

Beliau berkata ada dua sebab mengapa pelarasan itu melibatkan kenaikan gaji paling tinggi dalam sejarah negara sejak merdeka.

“Pertama (kerana) negara (terus) membangun - tetapi selama 12 tahun tak ada kajian menyeluruh kenaikan gaji, dan kedua mengiktiraf peranan mereka (penjawat awam),” katanya semasa berucap di Majlis Peluncuran Perumahan Penjawat Awam Malaysia MADANI di Bandar Sri Permaisuri di Kuala Lumpur pada Selasa.

“Walaupun ada suara bangkang yang tidak pernah kenal erti syukur dan tidak pernah nak terima kenyataan, tapi percayalah apabila saya umumkan nanti, sebahagiannya bulan Ogos dan lengkapnya seperti mana yang saya janjikan pada bulan Oktober (iaitu pada) Belanjawan Negara, (pelarasan) dilaksanakan mulai 1 Disember,” tambahnya.

Majlis peluncuran itu turut dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mekanisme pelarasan gaji penjawat awam akan diumumkan Encik Anwar semasa Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 pada 16 Ogos ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Encik Anwar berkata penjawat awam juga perlu bersama-sama dengan kerajaan dalam membangunkan negara.

“Dalam negara MADANI ini kita kena pastikan ekonomi mampan dan Alhamdulillah seperti mana yang dilaporkan, kekuatan ringgit yang menjadi masalah kepada kita itu, kembali dengan meyakinkan. Prestasi (pergerakan) ringgit hari ini terbaik ketimbang 14 tahun lepas.

“Asasnya apa? Negara tentunya kerana politik yang stabil, dasarnya jelas, penjawat awam berdedikasi, pegawai sektor swasta... ini semua mempunyai peranan untuk menjayakannya,” katanya.

Pada 2 Ogos, ringgit berada pada
RM4.49 (S$1.30) berbanding dolar Amerika Syarikat pada penutupan.

Ia meningkat 1.6 peratus berbanding dolar Amerika selepas mencatatkan kenaikan selama 10 hari berturut-turut, prestasi terbaik dicatatkan sejak 2010.
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita