Skip to main content

Dunia

PM Anwar gesa jangan putar belit fakta, tipu rakyat isu kalimah Allah

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak supaya jangan memutar belit fakta mengenai hal penggunaan kalimah Allah dan menggunakannya untuk menipu rakyat.

Ketika menjelaskan dakwaan sesetengah pihak yang beliau telah mengelirukan Dewan Rakyat berhubung perkara tersebut, Encik Anwar bertegas beliau tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang bercanggah.

“Saya menghadap Sultan Selangor atas titah Tuanku. Apa yang Sultan Selangor sebut iaitu dalam soal perakuan Kabinet tentang tidak membolehkan kalimah Allah digunakan di Semenanjung Tanah Melayu diperkenan, kemudian kelonggaran untuk Sabah dan Sarawak."

“Oleh kerana ada pindaan, Tuanku beri pandangan sebaiknya pindaan yang nak dicadangkan untuk diperkemas peraturan itu dibawa kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) supaya Tuanku sendiri mempersembahkan kepada Majlis Raja-Raja (MRR)."

“Apa yang bertentangannya? Nak putar belit tipu rakyat sebab apa? Nak dapat keuntungan politik jangan dengan menipu,” kata beliau pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, pada Selasa (13 Jun).

Encik Anwar berkata demikian yang sekali gus membidas Dr Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang) yang bangkit mengemukakan Peraturan Mesyuarat 36(12) ketika permulaan persidangan pada Selasa.

Beliau menuntut Perdana Menteri Malaysia itu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana didakwa mengeluarkan kenyataan bercanggah.

Encik Zulkafperi merujuk kenyataan Encik Anwar di Dewan Rakyat pada 23 Mei lalu yang menafikan dakwaan kerajaan tidak merujuk Yang di-Pertuan Agong mengenai keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menarik balik rayuan keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan penggunaan kalimah Allah.

Menurut Encik Zulkafperi, ia berikutan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 7 Jun yang menunjukkan kerajaan belum merujuk kepada MRR sebelum menarik balik rayuan itu.

Menerusi titah itu, baginda selaku Pengerusi MKI mencadangkan supaya isu kalimah Allah dibawa kepada badan itu pada Ogos depan sebelum ia diangkat kepada MRR Oktober ini.

Pada masa yang sama, Encik Anwar menegaskan keputusan kerajaan untuk menarik balik rayuan dalam isu kalimah Allah sudah dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerusi panggilan telefon yang dibuat semasa mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Februari lalu.

“Kenyataan itu kalau baca dengan betul tak akan mengelirukan dan memang dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong,” kata beliau.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita