Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PM Anwar gesa APEC iktiraf sekutu bukan tradisional

Anggaran Waktu Membaca:
PM Anwar gesa APEC iktiraf sekutu bukan tradisional

(Gambar: Facebook/Anwar Ibrahim)

Diterbitkan : 16 Nov 2024 10:20AM Dikemas Kini : 16 Nov 2024 11:45AM
LIMA: Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) perlu mengiktiraf potensi sekutu bukan tradisional seperti Kesatuan Afrika, Amerika Latin dan BRICS, kata Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim.

Beliau berkata “perkongsian dengan ASEAN, Kesatuan Afrika, dan rangkaian digital rentas sempadan boleh mentakrifkan semula daya tahan global kita.”

“Walaupun pada hakikatnya kita hidup dalam era ketidaktentuan geopolitik namun, masih sudah sampai masanya untuk APEC dan BRICS memanfaatkan kelebihan bersama untuk membentuk semula struktur kuasa ekonomi.

“Selain itu, perkongsian ini dapat memupuk kerjasama digital yang mencerminkan nilai kita -- mencipta alternatif kepada model pembangunan tradisional,” kata beliau semasa membuat intervensi pada Dialog Informal Pemimpin APEC bersama Tetamu pada Jumaat (15 Nov), hari kedua terakhir Minggu Pemimpin Ekonomi APEC (AELW) di Lima, Peru.

Encik Anwar, yang juga Menteri Kewangan Malaysia berkata, melalui usaha bersama dan segerak, APEC dan BRICS berpeluang menyampaikan visi inklusif untuk pertumbuhan ekonomi yang memperkasakan masyarakat di seluruh benua.

“Kumpulan yang lemah daripada populasi kita bukan satu statistik, mereka adalah denyut nadi masyarakat kita.

“Setiap anak-anak tanpa akses kepada pembelajaran digital, setiap usahawan terkekang ekoran halangan pembiayaan, dan setiap keluarga yang terancam dengan kemerosotan alam sekitar adalah peluang yang terlepas untuk pertumbuhan dan kestabilan,” kata beliau.

Encik Anwar berkata untuk melindungi mereka, APEC perlu menyalurkan sumber dan kepakarannya ke wilayah lain dengan matlamat yang sama.

“Pertimbangkan inisiatif bersama, dengan APEC bekerjasama dengan Perikatan Pasifik untuk memanfaatkan pertanian pintar iklim, membawa daya tahan iklim kepada kalangan petani terkecil kita.

“Atau pelibatan yang aktif menerusi platform seperti OECD (Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan) untuk melancarkan program kerjasama bagi rangkuman digital mampu milik, bukan sahaja merapatkan jurang digital malah juga membuka peluang baharu bagi komuniti luar bandar dan bandar,” katanya.

Semua usaha merentas rantau itu akan membolehkan kalangan ekonomi APEC memanfaatkan sepenuhnya kelebihan inovasi kolektif, menguatkan sokongan kepada golongan yang paling memerlukan, kata beliau.

BRICS, asalnya merangkumi Brazil, Rusia, India dan China ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi yang sedang pesat membangun.

Afrika Selatan menyertainya pada 2010. Blok itu kemudiannya berkembang dengan meliputi Iran, Mesir, Ethiopia dan Amiriah Arab Bersatu (UAE).

Baru-baru ini, Malaysia diiktiraf sebagai satu daripada 13 negara yang ditambahkan secara rasmi sebagai negara rakan BRICS, sebuah blok yang secara kolektif menyumbang satu perlima kepada perdagangan global.

BRICS mewakili kira-kira 40 peratus daripada penduduk global dan menyumbang Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) terkumpul US$26.6 trilion (S$36 trilion) atau 26.2 peratus kepada GDP dunia, hampir menyamai kekukuhan ekonomi Kumpulan Tujuh (G7).
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan