Skip to main content

Dunia

PM Anwar gesa anak-anak Dr Mahathir jelaskan sumber kekayaan

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim menuntut anak-anak mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad menjelaskan sumber kekayaan masing-masing atau membayar semula wang kepada kerajaan.

Anggaran Waktu Membaca:
PM Anwar gesa anak-anak Dr Mahathir jelaskan sumber kekayaan

Gambar fail Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim di Kuala Lumpur, Malaysia pada 9 Julai 2025. (Gambar: Reuters/Hasnoor Hussain)

Diterbitkan : 31 Jul 2025 07:46AM
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim menuntut anak-anak mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad menjelaskan sumber kekayaan masing-masing atau membayar semula wang kepada kerajaan.

Dalam temu bual bersama wartawan Indonesia, Najwa Shihab di Jakarta, Encik Anwar berkata pendedahan kekayaan luar biasa oleh kedua-dua anak Dr Mahathir menimbulkan persoalan yang perlu dijawab, khususnya membabitkan jumlah yang besar.

Ketika menyentuh mengenai perhimpunan pembangkang ditunjangi PAS yang lantang mengkritik kepimpinannya, termasuk menuduh wujudnya kes-kes rasuah ketika beliau memegang tampuk kuasa, Encik Anwar berkata, beliau menyerahkan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat.

"Saya tidak memilih untuk menuduh sesiapa secara sembarangan. Sebaliknya, saya serahkan kepada SPRM untuk menyiasat tetapi jika seseorang itu sendiri mengisytiharkan memiliki aset bernilai RM1.2 bilion (S$362.8 juta), manakala seorang lagi RM4 bilion (S$1.2 bilion), maka wajarlah mereka bayar balik, melainkan mereka boleh menjelaskan sumber dana itu," katanya lapor BH Online.

Untuk rekod, aset Mokhzani Mahathir sebelum ini dianggarkan bernilai sekitar RM1 bilion (S$302.3 juta), manakala Mirzan Mahathir memiliki RM246.2 juta (S$74.4 juta) seperti yang diisytiharkan kepada SPRM, lapor BH Online.

Dalam pada itu, Encik Anwar yang juga Menteri Kewangan, menyifatkannya sebagai pelik apabila pihak pembangkang dilihat mempertahankan individu yang dikaitkan dengan kekayaan luar biasa.

"Pelik apabila pembangkang pula yang mempertahankan isu seperti ini. Sepatutnya mereka menjadi pihak paling tegas dalam menentang rasuah.

"Anehnya pembangkang pula yang melindungi individu berkait rasuah, termasuk yang didukung oleh Dr Mahathir. Sepatutnya mereka menjadi barisan paling lantang menentang rasuah.

"Apa (perlunya) anak perdana menteri atau menteri memiliki kekayaan berbillion ringgit? Kita mesti hentikan budaya ini. Reformasi bukan hanya atas kertas atau dalam bentuk peraturan semata-mata. Reformasi itu adalah (dengan) melaksanakan kata-kata," tegasnya seperti dilapor BH Online.

Justeru, Encik Anwar menegaskan, perjuangan reformasi yang dibawanya bukan sekadar slogan atau bersifat retorik.

Temu bual itu berlangsung ketika Encik Anwar mengadakan lawatan kerja dua hari ke Indonesia pada Selasa (29 Jul) bagi menghadiri Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia Ke-13 bersama Presiden Prabowo Subianto, yang juga merupakan sesi pertama antara kedua-dua pemimpin itu.
Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita