Skip to main content

Dunia

PM Anwar gesa ambil tindakan terhadap individu sebar fitnah isu kasino

Anggaran Waktu Membaca:
PM Anwar gesa ambil tindakan terhadap individu sebar fitnah isu kasino

(Gambar: Facebook/Anwar Ibrahim)

Diterbitkan : 01 May 2024 07:46PM
PUTRAJAYA:Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim menegaskan mana-mana pihak yang mengaitkan beliau dan kerajaan dengan dakwaan ada perbincangan mengenai projek lesen kasino di Forest City, perlu dikenakan tindakan undang-undang.

Menyifatkan pihak berkenaan sebagai tiada modal berpolitik, Encik Anwar berkata Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim tidak pernah menyebut kepada beliau minat baginda untuk mengadakan tempat perjudian di Forest City. 

“Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong tidak pernah pun menyebutkan kepada saya minat untuk adakan perjudian di sana.

“Jadi (datang) dari mana? Dari penjahat-penjahat semua inilah. Mereka ini yang sepatutnya ganti bilik-bilik saya di (penjara) Sungai Buloh,” katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Pekerja 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Rabu (1 Mei).

Encik Anwar berkata walaupun pihak-pihak dalam kerajaan terbuka menerima kritikan, namun beliau mengingatkan individu-individu berkenaan agar tidak mengkritik institusi raja-raja.

“Kamu singgung raja-raja, dan raja-raja itu institusi negara yang kita sanjung dan muliakan, serta ini ada dalam Perlembagaan. Kita ada sistem raja, tidak bolehlah dijadikan macam orang politik, serang sesuka hati dan ini memang tidak boleh,” katanya.

Beliau berkata demikian susulan ada individu-individu yang sengaja membuat tohmahan dan mencipta fitnah berhubung isu kasino.

Sebelum ini, sebuah portal berita antarabangsa memetik sumber sebagai mendakwa Malaysia sedang berunding dengan beberapa hartawan untuk menubuhkan kasino di Forest City, dan Encik Anwar didakwa sudah bertemu dengan pengasas Berjaya Corp, Vincent Tan, dan Lim Kok Thay dari Kumpulan Genting untuk berbincang mengenainya.

Laporan itu turut mendakwa wakil Sultan Ibrahim, serta pegawai kanan kerajaan lain turut hadir pada mesyuarat itu, dan perbincangan mengenainya masih di peringkat awal.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita