Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PM Anwar dedah 'diberi mandat' pimpin negara dengan hutang lebih RM1 trilion

Anggaran Waktu Membaca:
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim memaklumkan beliau diberi mandat memimpin dalam keadaan hutang negara melebihi RM1 trilion (S$307 bilion).

Beliau berkata, perkara itu bukan fitnah sebaliknya perangkaan yang diperolehi selepas meneliti setiap agensi yang mana berlaku kebocoran dan ketirisan.

Tegasnya, beliau bekerja keras, meneliti fail-fail yang ada dan kerana itulah ada beberapa projek ditangguhkan namun ia bukan bermaksud untuk mencerca mana-mana tokoh politik kerana beliau tidak menyebut sebarang nama.

“Tapi saya kata, sebagai contoh projek tebatan banjir…kerana banjir itu menyeksa rakyat dan yang jadi mangsa itu orang miskin dan majoriti yang miskin itu Melayu."

"Sebab itu kalau kita nak belanjakan kita kena teliti. Ini soal tadbir urus, mengurus negara itu harus dengan ketertiban, peraturan dan ke arah yang betul."

“Jadi bila saya lihat umpamanya dilulus dengan spontan projek tebatan banjir, syarikat-syarikat dipertikai, beberapa persoalan tidak dijawab, saya minta ditangguhkan dan diteliti semula."

"Esok saya ke Kementerian Kewangan, saya akan kaji, dan itu benar bukan fitnah. Memang diluluskan (projek tebatan banjir) tapi belum dilaksanakan kerana pilihan raya,” katanya, lapor agensi berita Astro Awani.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Program Pertemuan Mahabbah Perdana Menteri bersama Ulama dan Asatizah di Seri Perdana pada Ahad (11 Dis).

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na'im Mokhtar, Mufti Wilayah Persekutuan, Luqman Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Media sebelum ini melaporkan, Encik Anwar mengarahkan beberapa kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion (S$2.1 bilion) dikaji semula.

Pada Khamis (8 Dis) lalu, bekas Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan beliau tidak pernah menandatangani sebarang Surat Setuju Terima (SST) kepada mana-mana syarikat berhubung projek tebatan banjir, menurut agensi berita Astro Awani.

Tuan Ibrahim turut mempersoalkan jumlah peruntukan RM7 bilion (S$2.1 bilion) yang hendak dikaji semula oleh Kerajaan Persekutuan seperti diumumkan Perdana Menteri Malaysia itu, baru-baru ini berikutan peruntukan asal adalah RM15 bilion (S$4.6 bilion).
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan