Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PM Anwar cabar pembangkang fail usul tidak yakin di tengah desas-desus gerakan tumbangkan kerajaan

Anggaran Waktu Membaca:
PM Anwar cabar pembangkang fail usul tidak yakin di tengah desas-desus gerakan tumbangkan kerajaan

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada 26 Jan 2023. (Gambar fail: Facebook/Anwar Ibrahim)

SEREMBAN: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim mencabar pihak pembangkang yang dikatakan berkompot untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan supaya memfailkan usul tidak yakin dalam sidang parlimen akan datang.

Encik Anwar berkata demikian di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia MADANI pada Ahad (7 Mei).

Beliau menegaskan bahawa dengan membuktikan majoritinya di parlimen, ia akan menghentikan desas-desus ketidakstabilan dalam politik dan membolehkan Kerajaan memberi tumpuan untuk membantu rakyat.

“Kita harus memelihara kestabilan politik. Parlimen akan bersidang dalam tempoh dua minggu akan datang dan saya mencabar sesiapa atau mana-mana pihak yang ingin membentangkan usul undi tidak yakin, sila berbuat demikian. Kami akan bersemuka di parlimen untuk melihat siapa yang mempunyai kekuatan,” kata Encik Anwar.
“Ia amat mengganggu. Desas-desus di sana sini dari 126, 114, apakah angka ini? Kami terbuka kepada (usul tidak yakin) … Kami akan lawan di parlimen. kenapa? Kerana saya mahu menamatkan persoalan tentang ketidakstabilan politik ini supaya kita boleh fokus membantu rakyat."

Sidang Parlimen seterusnya akan diadakan pada 22 Mei.

Media tempatan baru-baru ini melaporkan desas-desus bahawa pemimpin pembangkang Hamzah Zainudin, mempunyai cukup Akuan Bersumpah daripada Anggota Parlimen untuk menyokongnya sebagai Perdana Menteri.

Portal berita The Vibes pada 24 April pula mendakwa ada rancangan untuk menggulingkan Encik Anwar melalui pilihan raya kecil dalam kalangan Anggota Parlimen Barisan Nasional yang tidak menyokongnya.

Menurut laporan itu, beberapa anggota parlimen BN telah dipujuk untuk keluar parti dan meletakkan jawatan untuk membolehkan pilihan raya kecil diadakan. Anggota Parlimen itu kemudiannya dilaporkan akan bertanding semula di bawah Perikatan Nasional (PN).

Encik Anwar menegaskan sebelum ini bahawa parti-parti dalam Kerajaan Perpaduannya cukup kuat untuk mempertahankan diri daripada sebarang rancangan untuk menjatuhkan kerajaan.

BEKAS PEMIMPIN SEHARUSNYA JUAL ASET UNTUK BANTU ORANG MELAYU

Dalam ucapannya pada Ahad, Encik Anwar juga menyeru beberapa bekas pemimpin politik yang selama ini mengkritik kepimpinannya supaya menjual aset mereka untuk membantu orang Melayu di negara itu.

Menurutnya pemimpin seperti mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad dan bekas penasihat kerajaan Daim Zainuddin, telah mengkritik kerajaannya kerana tidak cukup melindungi hak orang Melayu.

"Terdapat ramai Tan Sri dan Tun, yang kaya, popular, yang mengatakan bahawa Anwar tidak boleh diharapkan untuk memelihara hak orang Melayu di negara ini," kata Ahli Parlimen Tambun itu.

“Tetapi saya percaya saya telah melakukannya sejak enam bulan lalu, melalui banyak projek dan inisiatif termasuk projek tebatan banjir dan inisiatif lain.

“Saya ingin bertanya kepada mereka, sama ada Tun Mahathir atau Tun Daim, orang Melayu kaya ini, anda harus teruskan dan perjuangkan hak orang Melayu.

“Tetapi kekayaan anda yang bernilai berbilion-bilion, kapal terbang peribadi anda, kapal anda, akaun bank anda di luar negara, mengapa tidak ambil semua itu dan berikan wang tersebut kepada orang Melayu di Malaysia. Kalau begitu betul, kamu layak digelar pahlawan orang Melayu di Malaysia."

Pada Jumaat, Dr Mahathir memfailkan saman fitnah RM150 juta (S$199 juta) terhadap Perdana Menteri Anwar selepas beliau didakwa menuduhnya mengumpul kekayaan peribadi ketika berkuasa.
Sumber : Bernama/SU/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan