Skip to main content

Dunia

PM Anwar bidas tindakan sesetengah pihak lontar pandangan berlebihan tentang pelan damai Trump

Anggaran Waktu Membaca:
PM Anwar bidas tindakan sesetengah pihak lontar pandangan berlebihan tentang pelan damai Trump

(Gambar: Facebook/Anwar Ibrahim)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 19 Oct 2025 10:11PM Dikemas Kini : 19 Oct 2025 10:12PM
JASIN: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim membidas tindakan sesetengah pihak yang melontarkan pandangan berlebihan berhubung rundingan pelan damai yang dikemukakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Beliau berkata tindakan itu termasuk mengkritik pembabitan Amerika Syarikat dalam rundingan tersebut tidak membantu kepada penyelesaian konflik antara Hamas dan Israel.

Encik Anwar memaklumkan bahawa beliau sudah berhubung dengan Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi pada Sabtu (18 Okt) bagi menyampaikan penghargaan atas komitmen Mesir bersama negara-negara Arab termasuk Turki kerana membantu sekurang-kurangnya menghentikan pengeboman dan serangan Israel ke atas Gaza.

“Dalam perbincangan dengan beliau, kebimbangan saya ialah Tebing Barat diserang lagi dan El-Sisi kata sebab itu negara-negara Islam harus sentiasa nampak sebagai satu pasukan.

"Walaupun kita ada keberatan, kita tidak setuju semua penyelesaian 20 Perkara itu, tetapi saya dengar juga pandangan daripada pihak lain seperti Hamas yang berunding dengan Israel," katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Melaka di Jasin pada Ahad (19 Okt).

Encik Anwar berkata Encik El-Sisi turut menyatakan persetujuan untuk mengetengahkan perkara-perkara yang dibangkitkan Malaysia yang tidak termasuk dalam 20 Perkara yang dicadangkan Encik Trump, menerusi satu persidangan pada November depan.

“Saya juga minta laluan untuk sukarelawan Malaysia dibenarkan masuk, nak bantu dan beliau bagi jaminan,” katanya.

Rundingan pelan damai itu menyaksikan Mesir menjadi tuan rumah kepada sidang kemuncak keamanan antarabangsa di bandar peranginan Laut Merah, Sharm el-Sheikh dengan dipengerusikan Encik El-Sisi dan Encik Trump.
 
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita