Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PM Anwar bertemu KJ, pakar ekonomi bincang hala tuju ekonomi M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
PM Anwar bertemu KJ, pakar ekonomi bincang hala tuju ekonomi M'sia

(Gambar: Facebook/Anwar Ibrahim)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim mengadakan perjumpaan dengan mantan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, ahli ekonomi serta pakar industri pada petang Jumaat (16 Jun) untuk membincangkan hala tuju ekonomi negara.

Tidak dapat dipastikan peranan yang dimainkan Encik Khairy dalam pertemuan itu.

Encik Khairy dipecat oleh UMNO pada akhir Januari yang dilihat sebagai langkah menyingkirkan pengkritik presiden parti Ahmad Zahid Hamidi, lapor Malaysiakini.

Naib Presiden UMNO Johari Ghani, yang sebelum ini menjadi Menteri Kewangan kedua semasa pentadbiran mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak, turut hadir.

Dalam hantaran di Instagram, Encik Anwar berkata pertemuan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk mencari idea dan pandangan, daripada semua lapisan masyarakat, mengenai ekonomi negara.

"Perbincangan turut menyentuh bidang pertumbuhan baru dan kaedah untuk memperkukuh ekosistem pelaburan."

"Segala pandangan yang dikongsikan pastinya akan digunakan untuk membentuk Naratif Ekonomi Madani yang sedang dirangka bagi mencorak hala tuju ekonomi negara dalam tempoh jangka masa sederhana dan panjang," katanya.

Pada Isnin (12 Jun), Encik Anwar berkata naratif ekonomi Madani akan dilancarkan pada Ogos sebagai panduan untuk hala tuju ekonomi negara yang lebih jelas, menurut Malaysiakini.

Individu lain yang menghadiri mesyuarat itu ialah pengerusi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Mohd Effendi Norwawi; pakar ekonomi Dr Nungsari Ahmad Radhi; Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia-Universiti Kebangsaan Malaysia Noor Azlan Ghazali; Ketua Setiausaha Khazanah Johan Mahmood Merican dan ketua setiausaha Kementerian Ekonomi Nor Azmie Diron.

Encik Anwar menambah, pakar ekonomi yang hadir mesyuarat pada Jumaat bersetuju bahawa kerajaan mempunyai masa yang terhad untuk mengatasi cabaran yang membelenggu ekonomi negara bagi mengembalikan Malaysia ke landasan yang betul.

"Saya faham sebarang reformasi atau pembaharuan memerlukan disiplin dan kesabaran. Ia juga memerlukan keyakinan serta keberanian untuk melakukan perkara yang baru dan membuat keputusan yang berat untuk kepentingan rakyat dan negara."

"Namun Kerajaan ini tekad dan akan bekerja keras untuk memacu pertumbuhan yang inklusif dan mampan."

"Pertumbuhan ekonomi bukan tentang angka semata-mata tetapi mesti menggarap keperluan serta kehendak rakyat," katanya, seperti dinukil laporan Malaysiakini.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan