Skip to main content

Dunia

PM Anwar beri pimpinan penguat kuasa masa seminggu untuk kekal atau tukar jawatan

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim pada Rabu (28 Jan) memberi tempoh seminggu kepada pimpinan tertinggi pasukan penguat kuasa untuk mengesahkan kesediaan mereka memikul amanah dan tanggungjawab atau memilih untuk bertukar ke jawatan lain.
Anggaran Waktu Membaca:
PM Anwar beri pimpinan penguat kuasa masa seminggu untuk kekal atau tukar jawatan
Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika berucap pada majlis amanat majlis amanat Perdana Menteri bersama Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Penguat Kuasa yang berhubungan dengan jenayah kewangan. (Gambar: BERNAMA)
Diterbitkan : 29 Jan 2026 07:04AM Dikemas Kini : 29 Jan 2026 07:06AM
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim pada Rabu (28 Jan) memberi tempoh seminggu kepada pimpinan tertinggi pasukan penguat kuasa untuk mengesahkan kesediaan mereka memikul amanah dan tanggungjawab atau memilih untuk bertukar ke jawatan lain.

Encik Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata kesediaan untuk terus menggalas tanggungjawab itu boleh disampaikan kepada beliau sendiri, menteri atau ketua jabatan masing-masing.

“Jika sudah diamanahkan tetapi merasakan tanggungjawab itu sukar dilaksanakan kerana cabarannya terlalu besar, ujian berat, atau minat dan tarikan pelawaan lain terlalu kuat.

“Saya syorkan, ia dimaklumkan dalam tempoh seminggu kepada ketua jabatan, kepada saya sendiri, atau menteri. Beritahu kita belum bersedia untuk memikul amanah ini."

Encik Anwar berkata demikian ketika berucap pada majlis amanat majlis amanat Perdana Menteri bersama Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Penguat Kuasa yang berhubungan dengan jenayah kewangan.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar dan Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar, Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki dan Ketua Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) Shamsun Baharin Mohd Jamil.

Encik Anwar berkata individu yang tidak bersedia memikul tanggungjawab sebagai pemimpin seharusnya memberi laluan kepada mereka yang benar-benar ikhlas dan mampu untuk menjalankan amanah tersebut.

“Jadi, saya harap dalam tempoh seminggu ini kita benar-benar bermuhasabah dan merenung bersama. Jika sanggup memikul amanah, mengapa perlu bertukar ke jawatan lain?

“Saya akan menghormati keputusan mereka yang memilih untuk berundur atau berpindah ke jawatan lebih rendah, namun bagi yang sudi memikul tanggungjawab lebih besar, dalam tempoh seminggu ini lakukan tugas sebaik mungkin,” katanya.

Beliau menegaskan Kerajaan Madani tidak akan sesekali mengizinkan sebarang aktiviti salah laku atau penyeludupan berlaku secara terang-terangan, sambil menekankan keperluan semua pihak bekerja sebagai satu pasukan dan menyelesaikan masalah secara bersama.

“Pemegang jawatan tinggi, mereka yang bergelar ‘bintang-bintang gemerlapan’ ini bukan calang-calang individu, telah berkhidmat puluhan tahun dan menerima pengiktirafan sekian lama. Ia seharusnya mendorong kita melakukan sesuatu yang benar dan bijak, bukan mengambil sikap sambil lewa,” kata beliau.

Ketika ditemui warttawan selepas majlis itu, Encik Anwar berkata kenyataannya itu merupakan satu amaran keras kepada semua pihak.
Sumber : Bernama/NK/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita