Skip to main content

Dunia

PM Anwar beri amaran jangan jadikan kematian mangsa buli sebagai senjata politik

Anggaran Waktu Membaca:
PM Anwar beri amaran jangan jadikan kematian mangsa buli sebagai senjata politik

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada Isnin (18 Ogos). (Gambar: Petikan skrin dari video Facebook/Anwar Ibrahim)

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak supaya tidak menjadikan kematian mangsa buli sebagai senjata politik.

Encik Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata tindakan menggunakan kematian mangsa buli untuk tujuan penipuan dan hasutan adalah perbuatan yang tidak boleh diterima sama sekali.

“Soal media sosial ini, kita kawal (tapi) ada batasnya. Umpamanya yang terbaharu, seseorang yang kata dia itu doktor patologi bagi gambaran (bedah siasat Zara Qairina Mahathir) dan ini meracuni pemikiran jutaan orang sehingga ada rakan, isteri, sahabat bertanya, PM (Perdana Menteri) apa ini?

“Orang itu (Zara Qairina) dah terkorban, kemudian kita jadikan ini sebagai satu senjata politik untuk menikam orang lain. Kalau benar tak apa, mana boleh kita mainkan (isu ini) seolah kematian orang itu (digunakan untuk) menipu dan menghasut sebegitu rupa,” katanya.

Encik Anwar berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada Isnin (18 Ogos).

Perdana Menteri tidak menolak kemungkinan berlaku beberapa kelemahan dalam pengendalian kes kematian pelajar Zara Qairina di Sabah pada 17 Julai lalu, termasuk dari segi siasatan serta wujud beberapa kelengahan tertentu.

Namun beliau menegaskan bahawa pihak berkuasa sedang menanganinya dengan sebaik mungkin.

“Saya, Timbalan Perdana Menteri Fadillah, Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi dah keluarkan kenyataan dan kita sudah adakan mesyuarat peringkat tertinggi untuk pastikan siasatan telus,” katanya.

Mengulas mengenai budaya buli, Encik Anwar menegaskan budaya itu perlu dihentikan sepenuhnya kerana ia adalah penderaan berbentuk psikologi dan fizikal yang memberi impak besar terhadap masyarakat.

“Kemelut dalam negara terutama beberapa kes kematian anak-anak kita, anak kita Zara (Qairina) di Sabah, Faris (Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman) di Kelantan dan beberapa kes lain yang disebut (sebagai) kes buli.

“Buli ini (berbentuk) penderaan psikologi dan fizikal sama ada di sekolah, universiti, pejabat, Kementerian Kesihatan (KKM), (budaya) ini mesti dihentikan kerana ia meliputi penghinaan sama ada atas peribadi seseorang, warna kulitnya dan pelbagai,” katanya.

Pada Ahad, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengenal pasti identiti seorang pengguna TikTok mendakwa dirinya sebagai pakar bedah yang terlibat dalam kes Zara Qairina.

Encik Fahmi dilaporkan berkata individu berkenaan mendakwa dirinya hadir pada proses bedah siasat jenazah pelajar tingkatan satu itu pada 10 Ogos lalu, namun semakan KKM mengesahkan individu itu bukan seorang doktor pakar mahupun petugas KKM.

Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah, pada 17 Julai selepas dimasukkan ke hospital, setelah dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri dii kawasan longkang berhampiran asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar pada 4.00 pagi, 16 Julai.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita