Skip to main content

Dunia

PM Anwar bakal hadir semula di Perhimpunan Agung UMNO selepas 20 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Selepas disingkirkan daripada UMNO sejak lebih dua dekad lalu, Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim akan sekali lagi menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU), tetapi kali ini sebagai tetamu kehormat.

Setiausaha Agung UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki berkata Encik Anwar akan hadir pada sesi perasmian pada 9 Jun ini bersama-sama pemimpin daripada semua 19 parti komponen dalam empat gabungan dalam kerajaan.

"Ini akan menjadi detik bersejarah, Perhimpunan Agung UMNO akan dihadiri oleh semua parti yang membentuk kerajaan perpaduan," kata Encik Asyraf semasa sidang media di ibu pejabat UMNO di Kuala Lumpur pada Jumaat (2 Jun), lapor Malaysiakini.

Encik Asyraf juga menafikan laporan bahawa Pemuda UMNO tidak menjemput sayap parti lain dalam kerajaan perpaduan.

"Biasanya sayap masing-masing akan ikut cabang utama. Jika UMNO sendiri yang menjemput parti-parti kerajaan perpaduan, mereka akan ikut," katanya, dipetik daripada agensi berita Malaysiakini.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh sebagai berkata pihaknya tidak akan menjemput parti lain ke perhimpunan agung UMNO bagi sayap pemuda.

Encik Muhamad Akmal secara tersirat berkata, pihaknya mahu ‘memperbetulkan’ dahulu apa yang berlaku ‘di rumah’ sebelum menjemput mana-mana parti.

Ditanya sama ada UMNO akan menjemput mantan pemimpinnya yang telah dipecat, Encik Asyraf berkata hanya perwakilan dibenarkan mengambil bahagian tetapi mereka yang merindui parti itu masih dialu-alukan untuk berada di Pusat Dagangan Dunia (WTC) dan membeli-belah di gerai jualan yang disediakan.

"Malah mereka boleh 'memperbaharui' samping UMNO mereka," sindirnya, lapor Malaysiakini.

Encik Asyraf berkata jumlah perwakilan yang akan hadir pada perhimpunan kali ini meningkat kepada 6,341 orang iaitu seramai 1,134 Puteri UMNO, 1,160 Pemuda UMNO, 1,159 Wanita dan 2,808 daripada badan pusat.

“Selepas pindaan kepada perlembagaan parti diluluskan, PAU buat julung kalinya akan dihadiri ketua penerangan peringkat bahagian dan sayap,” katanya.

Encik Asyraf berkata pihaknya menjangkakan antara usul utama yang akan dibawa perwakilan adalah berkaitan ekonomi dan kebajikan rakyat.

PAU 2003 akan membuka tirai pada 7 Jun sehingga 10 Jun di WTC, Kuala Lumpur.

Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi akan menyampaikan ucapan pada 9 Jun, diikuti ucapan perbahasan dan penggulungan pada 10 Jun.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita