Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PM Anwar bakal bincang 12 perkara dengan Jokowi

Anggaran Waktu Membaca:
PM Anwar bakal bincang 12 perkara dengan Jokowi

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim. (Gambar fail: Pejabat Perdana Menteri Malaysia)

JAKARTA: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim membayangkan pertemuan dengan Presiden Indonesia Joko Widodo esok (9 Jan) bakal menyentuh 12 perkara.

Walaupun tidak mendedahkan 12 perkara itu, fokus perbincangan antara lain dijangka akan mengukuhkan lagi hubungan serumpun dan strategik yang sedia terjalin antara Malaysia dan Indonesia.

“Pertama, Indonesia merupakan jiran serumpun dan sahabat sejati walaupun dalam keadaan saya terlempar dan disisih dan Indonesia tetap terima saya sebagai sahabat sejati.

“Maka, Malaysia akan memberikan keutamaan dalam hubungan dua hala dengan Indonesia,” jawab Encik Anwar secara ringkas ketika ditanya oleh para wartawan Indonesia sempena lawatan sulungnya sebagai Perdana Menteri ke-10.

Encik Anwar memulakan lawatan sulungnya hari ini dengan menghadiri majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MOU) dan Surat Niat (LOI) antara syarikat-syarikat Malaysia dan Indonesia.

Fokus terarah kepada kerjasama kedua-dua negara dalam pembangunan ibu negara Nusantara.

Awal tahun lalu, Kementerian Luar Indonesia mengedarkan nota diplomatik agar semua kedutaan asing di Jakarta perlu berpindah ke Nusantara dalam tempoh 10 tahun.

Langkah ini menyaksikan 105 pejabat misi diplomatik di sana dipindahkan paling lewat 2034 selepas ibu negara Indonesia yang terletak di wilayah Kalimantan Tengah itu dibuka.

Sebelum ini, Dr Zambry Abdul Kadir memaklumkan, lapan memorandum persefahaman juga akan dimeterai ketika sesi kunjungan Encik Anwar ke atas Presiden Indonesia Joko Widodo di Istana Bogor.

Sepanjang tahun lalu, Indonesia merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia dan kedua terbesar di peringkat ASEAN.

Pertemuan Encik Anwar-Jokowi juga bakal menyentuh strategi bersama bagi melawan kempen anti minyak sawit Malaysia dan Indonesia di pasaran Kesatuan Eropah (EU) ketika ini.

Selain itu, pertemuan kedua-dua tokoh itu dijangka menyentuh isu sempadan darat dan maritim selain masalah pekerja Indonesia di Malaysia, lapor Astro AWANI.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan