Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PM Anwar arah jentera kementerian bantu misi pascabanjir di Johor

Anggaran Waktu Membaca:
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim pada Jumaat (17 Mac) mengarahkan semua jentera kementerian membantu misi pascabanjir di Johor dengan RM150 juta (S$ 45 juta) peruntukan tambahan sudah disegerakan oleh Kementerian Kewangan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan Malaysia berkata perkara berkenaan dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikannnya pada Jumaat khusus membincangkan usaha untuk membantu mangsa banjir di negeri tersebut.

“Kabinet beri ini (isu banjir) keutamaan dan putuskan semua jentera kementerian libatkan diri dalam program dan projek pascabanjir (di Johor),” kata beliau pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet di Putrajaya pada Jumaat.

Encik Anwar berkata secara keseluruhan, mangsa banjir di Johor yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) mencecah 82,831 orang, dan seramai 26,879 mangsa masih berada di 102 PPS.

Beliau menyeru badan bukan kerajaan (NGO), pihak universiti dan sukarelawan supaya turun dalam tempoh singkat ini untuk membantu keluarga dan mangsa pascabanjir kerana beban sangat besar untuk dikendalikan oleh jentera di Johor.

Encik Anwar berkata beliau juga sudah menghubungi Menteri Besar Selangor Amirudin Shari supaya turut sama menyalurkan sukarelawan untuk membantu misi pascabanjir di Johor.

“Sekarang pascabanjir perlu sukarelawan ramai dan keperluan asas lain dan kemudahan seperti ‘water jet’. Semua (peralatan ini) akan ditambah oleh kerajaan,” kata beliau.

Pada Khamis (16 Mac), Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berharap kerajaan Persekutuan akan menyalurkan peruntukan khas kepada negeri itu bagi membaiki infrastruktur awam yang rosak dan harta benda yang musnah akibat banjir.

Beliau berkata hingga hari ini, masih terdapat banyak kawasan yang belum pulih sepenuhnya terutama di Batu Pahat, sejak negeri itu dilanda banjir pada 28 Februari lalu.
Sementara itu, Encik Anwar berkata Timbalan Perdana Menteri Malaysia Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah ke Johor bagi mengenal pasti projek tertentu berkaitan banjir.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan