PM Anwar akan turun pantau lokasi tanah runtuh di Genting Highland
(Gambar: Bomba Selangor)
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim dan beberapa menteri akan turun memantau lokasi tanah runtuh di tapak perkhemahan berdekatan Genting Highland di Selangor awal Jumaat (16 Dis).
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata perkara berkenaan disampaikan sendiri kepadanya oleh Encik Anwar ketika dihubunginya pagi Jumaat.
“Sebelum kami masuk ke dewan (perhimpunan kementerian pagi ini), saya sempat bercakap sebentar dengan Perdana Menteri dan memang telah dikerahkan beberapa menteri untuk turun ke lokasi, Timbalan Perdana Menteri akan susuli dan Insya-Allah Perdana Menteri akan susuli malam ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam amanat Tahun Baru ketika perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Beliau turut menghentikan seketika perhimpunan berkenaan untuk bertafakur bagi mangsa kejadian tanah runtuh berkenaan.
Dalam pada itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Malaysia menyatakan lapan orang maut dalam kejadian itu.
Usaha menyelamat mangsa sedang dijalankan.
Menurut agensi tersebut, setakat pukul 9.15 pagi, tujuh cedera dan 53 ditemui selamat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.