PLO, Hamas selar Presiden Trump berhubung isu Baitulmakdis
Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan pergerakan Islam Hamas menyelar tindakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang menyarankan agar isu Baitulmakdis dikeluarkan daripada rundingan damai Timur Tengah, lapor agensi berita China Xinhua hari ini (23 Ogos).

Bandar Lama Baitulmakdis (Gambar: Thomas Coex/ AFP).
RAMALLAH: Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan pergerakan Islam Hamas menyelar tindakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang menyarankan agar isu Baitulmakdis dikeluarkan daripada rundingan damai Timur Tengah, lapor agensi berita China Xinhua hari ini (23 Ogos).
Encik Ahmad Tamimi, anggota Jawatankuasa Eksekutif PLO, berkata kenyataan Presiden Trump berhubung langkah mengeluarkan isu Baitulmakdis daripada rundingan Israel-Palestin, "sia-sia."
"Kenyataan Trump menzahirkan dasar berat sebelah Amerika terhadap Israel dan satu pelanjutan ilusi Amerika, yang termasuk meluluskan 'Deal of the Century' tanpa Baitulmakdis sebagai ibu kota negeri Palestin.
"Trump tidak akan mampu membuang Baitulmakdis dari hati penduduk Palestin, bangsa Arab dan umat Islam," kata Encik Tamimi dalam satu kenyataan.
Pemimpin-pemimpin Palestin berulang kali mengumumkan penolakan mereka kepada mana-mana pelan damai Timur Tengah Amerika yang mengecualikan isu-isu seperti Baitulmakdis, pelarian dan petempatan Yahudi.
Presiden Trump dipetik sebagai berkata bahawa Washington sudah membuang isu Baitulmakdis dari meja rundingan.
'’Israel akan membayar dengan harga yang lebih tinggi kerana ia mengambil satu hadiah yang begitu berharga," katanya yang merujuk kepada pengiktirafan Washington terhadap langkah menjadikan Baitulmakdis sebagai ibu negara Israel pada Disember 2017.
Presiden Palestin Mahmoud Abbas baru-baru ini berkata Palestin tidak akan mengadakan rundingan dengan pentadbiran Presiden Trump atau menerima negara itu sebagai pengantara perdamaian sebelum ia menarik balik keputusannya berhubung isu Baitulmakdis.
Di Gaza, jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri, menyifatkan keputusan Presiden Trump untuk membuang isu Baitulmakdis daripada rundingan Palestin-Israel sebagai "amat bahaya."
"Perlu ada respons tegas dari Palestin seperti menarik balik pengiktirafan terhadap Israel, membatalkan kerjasama keselamatan dan memutuskan semua hubungan dengan pentadbiran Amerika,'’ katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.