Skip to main content

Dunia

Platform penghantaran Haloje Delivery bakal dilancar di SG selepas berkembang di Indonesia

Anggaran Waktu Membaca:
Platform penghantaran Haloje Delivery bakal dilancar di SG selepas berkembang di Indonesia

Logo Haloje Delivery.

Diterbitkan : 16 Jul 2025 09:22PM Dikemas Kini : 16 Jul 2025 09:24PM
JAKARTA: Platform penghantaran berpangkalan di Malaysia, Haloje Delivery akan memasuki pasaran Singapura bulan depan selepas berjaya berkembang di Indonesia baru-baru ini, kata pengasas dan pengarahnya Jalluddin Abu Hassan.

Platform tersebut dikendalikan oleh Techzilla Global Solution Sdn Bhd.

Beliau berkata langkah itu adalah sebahagian daripada strategi lebih luas syarikat untuk mengukuhkan jejaknya di seluruh Asia Tenggara.

Ia juga didorong oleh status Singapura sebagai hab logistik dan digital, sekali gus menjadikannya pilihan strategik untuk fasa pertumbuhan seterusnya.

"Singapura adalah pasaran matang dan berdaya saing, menjadikannya ideal untuk menguji dan memperhalusi perkhidmatan ditawarkan Haloje Delivery.

"Kami akan menyesuaikan perkhidmatan mengikut keperluan tempatan, menumpukan pada kecekapan, ketepatan masa dan integrasi teknologi," katanya kepada Bernama.

Encik Jalluddin berkata Haloje Delivery juga bercadang untuk menyasarkan perkhidmatan penghantaran rentas sempadan antara Johor Bahru dan Singapura, segmen yang dilihat kurang mendapat perkhidmatan daripada platform yang lebih besar.

Dalam usaha untuk mengukuhkan kehadirannya di Indonesia, anak syarikatnya PT Haloje Delivery Indonesia memeterai memorandum persefahaman awal bulan ini dengan Persatuan Ummat Islam, sebuah pertubuhan yang mempunyai lebih 20 juta ahli untuk menyokong pembangunan ekonomi digital dalam masyarakat tempatan.

Selepas melancarkan operasi pada penghujung 2024 di Bekasi, Jawa Barat, sekitar 20 kilometer ke timur Jakarta, Haloje Delivery menawarkan perkhidmatan termasuk penghantaran makanan, perkhidmatan kurier, penghantaran ubat, barangan runcit dan tambah nilai kredit prabayar mudah alih.

“Pendekatan kami di Indonesia adalah berasaskan masyarakat, bekerja rapat dengan pertubuhan dan usahawan tempatan untuk memastikan keselarasan dengan keperluan di lapangan,” kata Encik Jalluddin.

Usaha pengembangannya disokong oleh Program Geran Malaysia Digital X-Port, di bawah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bertujuan membantu syarikat teknologi Malaysia meningkat secara global.

Encik Jalluddin berkata walaupun operasi di Malaysia mencapai keuntungan, ia tetap memberi tumpuan kepada pelaburan semula dalam teknologi, pemasaran dan bakat (pekerja berkemahiran) untuk memacu pengembangan serantaunya.

Beliau berkata syarikat itu melabur RM800,000 (S$242,000) di Indonesia dan RM200,000 (S$60,500) di Singapura setakat ini, dan giat mencari pembiayaan tambahan daripada pelabur dan rakan kongsi strategik.

“Kami sedang mencari rakan kongsi yang boleh menawarkan bukan sahaja modal tetapi juga nilai strategik untuk mempercepatkan pertumbuhan kami di seluruh ASEAN,” katanya.

Encik Jalluddin berkata Haloje Delivery menyasarkan untuk menjadi platform penghantaran berasaskan masyarakat terkemuka di ASEAN dengan menyediakan perkhidmatan yang cekap, dimampui, inklusif dan memberi impak sosial.

Indonesia dan Singapura adalah penting untuk misi itu, menggabungkan potensi pertumbuhan tinggi dengan kesediaan digital termaju, katanya.

Ditubuhkan pada 2018, Haloje Delivery dimuat turun lebih 1.6 juta kali, pada mulanya syarikat berkenaan memberi tumpuan kepada kawasan luar bandar dan pinggir bandar di Malaysia sebelum berkembang ke pasaran bandar.

Platform itu kini diiktiraf dengan Status Digital Malaysia dan merupakan rakan kongsi utama dalam program eRezeki MDEC, satu inisiatif nasional bertujuan memperkasakan segmen berpendapatan rendah dengan membolehkan mereka memperoleh pendapatan tambahan menerusi pekerjaan digital.

Pekerjaan digital adalah pekerjaan memanfaatkan teknologi digital dan internet.
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita