PKR umum senarai calon PRU15 pada Jumaat
SHAH ALAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengumumkan senarai calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Pakatan Harapan (PH) pada Jumaat (28 Okt).
Perkara itu dinyatakan oleh Presidennya Anwar Ibrahim dalam satu ciapan di Twitter pada Khamis (27 Okt).
“Esok (Jumaat) akan mengumumkan senarai calon Keadilan bagi mendepani PRU15 di bawah panji PH,” katanya yang turut memuat naik sebuah poster di mana pengumuman calon itu akan dibuat pada pukul 8.30 malam di Padang MPAJ Taman Kosas, Ampang.
Tambah Encik Anwar, PKR akan menampilkan calon berwibawa merangkumi pelbagai segmen masyarakat yang datang daripada latar belakang berbeza.
"Antaranya golongan profesional, agamawan, penggerak belia dan anak muda," katanya, seperti dinukil Sinar Harian.
PKR sebelum ini mengumumkan tujuh calon baru daripada pelbagai bidang disiplin dan pengalaman untuk bertanding dalam PRU15.
Antara calon tersebut ialah ilmuwan agama, Nik Omar Nik Abdul Aziz; bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha dan bekas Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Zainal Azman Abu Seman.
Selain itu, turut dicalonkan bekas Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan; Pensyarah Kanan di Jabatan Parasitologi di Universiti Malaya (UM), Dr Nur Aisyah Abdul Aziz; bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Saipolyazan Yusop dan siswazah dari UM, Fathin Amelina Fazlie.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.