PKR teliti gesaan siasatan tatatertib terhadap 9 ahli parlimennya
Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini sedang meneliti gesaan untuk menyiasat sembilan ahli parlimennya secara tatatertib berikutan tindakan mereka mengadakan sidang media terbuka yang mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu badan kehakiman.
Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr. Fuziah Salleh. (Gambar: Bernama)
Setiausaha Agung PKR Dr. Fuziah Salleh berkata parti tersebut juga sedang mempertimbangkan gesaan daripada ahli parti agar sembilan ahli parlimen itu digantung keahlian sementara menyusuli kejadian tersebut.
Beliau berkata laporan rasmi berhubung desakan itu akan dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang dijadualkan berlangsung dalam tempoh dua minggu lagi.
“Gesaan tersebut sudah pun sampai kepada saya, dan saya telah dimaklumkan mengenainya. Kini, Pejabat Setiausaha Agung akan meneliti dan mengambil tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Ahad (13 Jul).
“Saya hanya menjalankan tugas. Yang akan berbincang dan membuat keputusan adalah MPP. Kami mempunyai kod tata etika, jadi perlulah dikaji sama ada tindakan itu melanggarnya atau tidak,” kata Dr. Fuziah.
Terdahulu, mantan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli bersama lapan ahli parlimen lain dari parti itu tampil dalam satu sidang akhbar mendesak kerajaan menubuhkan RCI serta Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) berkaitan pelantikan kehakiman.
Pada Sabtu, 19 Ketua Cabang PKR Johor dan 11 Ketua Cabang PKR Kedah turut menggesa agar siasatan tatatertib dilakukan dan keahlian sembilan ahli parlimen itu digantung buat sementara waktu.
Mengulas lanjut, Dr. Fuziah memaklumkan bahawa desakan tersebut sudah diterima oleh pejabatnya lebih awal sebelum ia disebarkan kepada media.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.