PKR belum muktamadkan calon Menteri Besar Johor

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail. (Gambar: BERNAMA)
BATU PAHAT: PKR belum lagi memikirkan atau menawarkan diri untuk meletakkan mana-mana calon parti itu bagi mengisi jawatan Menteri Besar Johor jika Pakatan Harapan (PH) diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini (12 Mac).
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata parti itu kini lebih memfokuskan kepada kemenangan dan calon Menteri Besar hanya akan dimuktamadkan selepas memenangi pilihan raya serta setelah berbincang dengan parti komponen PH lain.
“Kita masih tidak mempunyai nama, kita sekarang ini hanya fokus untuk menawarkan calon yang terbaik, calon yang telah memberikan perkhidmatan terbaik dan berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik.
“Kita juga belajar daripada pengalaman setiap pilihan raya yang telah kita sertai dan berusaha untuk memperbaiki setiap kesilapan pada pilihan raya terdahulu,” katanya kepada sidang media bersama calon-calon PKR Zon Tengah di Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah hari ini (7 Mac).
Beliau juga yakin dengan calon PKR yang bertanding di zon tengah berdasarkan rekod calon-calon berkenaan sebelum ini.
Katanya lagi, dua calon berkenaan merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri, seorang bekas menteri dan seorang lagi merupakan bekas exco dalam pentadbiran kerajaan Johor, selain meletakkan seorang muka baru dalam kalangan wanita.
Hari pengundian bagi PRN Johor ditetapkan pada Sabtu ini manakala pengundian awal akan berlangsung esok.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.