Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PKR akan bincang MOU kestabilan politik M'sia dengan DAP, Amanah

Anggaran Waktu Membaca:
SHAH ALAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengadakan perbincangan dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Amanah mengenai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan Persekutuan dengan Pakatan Harapan (PH) yang akan berakhir 31 Julai ini.

Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata, ini kerana DAP dan PKR mempunyai ahli baru majlis selepas pemilihan kedua-dua parti yang diadakan baru-baru ini.

"Bagi tafsiran MoU, ia tidak semestinya berakhir pada Julai atau semasa pilihan raya. Jadi kita akan melihat kerana kita tidak mahu dilihat tidak memberi tumpuan kepada masalah rakyat.

"Sebagai contoh, sebaik sahaja kita menamatkannya (MoU), adakah kita memaksa diadakan pilihan raya umum? Kita tidak mahu memaksa kerana terdapat perkara penting yang perlu ditangani," katanya pada sidang media selepas Kongres Nasional Ke-16 PKR di Shah Alam pada Ahad (17 Jul), mengulas sama ada PH berminat untuk melanjutkan MoU berkenaan.

Encik Anwar berkata, beliau juga akan bertemu Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob minggu depan untuk berbincang lebih lanjut mengenai MoU itu.

Pada 13 September 2021, kerajaan Persekutuan dan PH memeterai MoU itu bagi membentuk kerjasama dwipartisan merangkumi aspek pemerkasaan pelan COVID-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

Sebelum itu, semasa sesi penggulungan Encik Anwar berkata, pendekatan menetapkan calon sepertimana yang diambil pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor tidak akan digunakan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Encik Anwar berkata, mana-mana pemimpin yang tidak mempunyai prestasi rekod kerja yang memuaskan di cabang, tidak akan dipilih sebagai calon dan parti juga akan mendapatkan pandangan wanita serta ahli akar umbi sebelum watikah pelantikan ditandatangani.

"Mengambil pengalaman pada PRN Melaka dan Johor, orang salahkan Encik Anwar. Tapi saya presiden, saya ambil tanggungjawab. Tetapi mereka tidak tahu yang 90 peratus calon itu dicadangkan oleh Majlis Pimpinan Negeri (MPN) dan cabang, dan pendekatan serupa tidak akan digunakan lagi," katanya.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan