PKP penuh: Sekatan jalan raya di seluruh M'sia akan ditambah kepada lebih 800
Bilangan sekatan jalan raya (SJR) di seluruh Malaysia akan ditingkatkan kepada lebih 800 menerusi pelaksanaan sekatan pergerakan penuh bermula 1 Jun ini berbanding hampir 600 ketika ini, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin.
(Gambar: BERNAMA)
PUTRAJAYA: Bilangan sekatan jalan raya (SJR) di seluruh Malaysia akan ditingkatkan kepada lebih 800 menerusi pelaksanaan sekatan pergerakan penuh bermula 1 Jun ini berbanding hampir 600 ketika ini, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin.
Beliau berkata seramai 70,000 anggota polis dan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan dikerahkan di seluruh negara termasuk 15,000 anggota Jabatan Imigresen, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Menurut beliau, kekuatan polis ditambah kepada 55,000 anggota berbanding 37,000 anggota ketika ini bagi memastikan aspek penguatkuasaan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dapat dilaksanakan secara berkesan.
“Sekiranya jumlah ini dirasakan tidak cukup, kita akan tambah lagi anggota daripada pelbagai agensi dan jabatan di bawah KDN,” kata beliau lanjut dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan penutupan semua sektor ekonomi dan sosial dalam sekatan pergerakan penuh di peringkat KDN, di Putrajaya hari ini (29 Mei).
Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan COVID-19 semalam memutuskan untuk melaksanakan sekatan pergerakan penuh atau ‘total lockdown’ sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 Jun ini.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan menyatakan sepanjang tempoh berkenaan, semua sektor tidak dibenarkan untuk beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan MKN.
Encik Hamzah berkata Pasukan Pemantauan Pematuhan SOP juga akan melaksanakan pemeriksaan secara mengejut dengan kerjasama kementerian dan agensi kerajaan berkaitan seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Pihak Berkuasa Tempatan bagi memastikan pematuhan SOP sektor sosial dan ekonomi.
“Pemeriksaan juga akan melibatkan kawasan di luar bandar dan lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai berkumpul,” katanya serta menambah keanggotaan Pasukan Pemantauan Pematuhan SOP akan ditingkatkan kepada hampir 20,000 orang berbanding 13,795 orang ketika ini.
Mengenai pelaksanaan Ops Benteng, Hamzah berkata Maritim Malaysia dan Pasukan Polis Marin akan digerakkan untuk memperketatkan pematuhan SOP dan kawalan sempadan terutama di laluan panas yang menjadi tempat pendaratan pendatang asing bagi mencegah kemasukan secara haram.
“Jabatan Imigresen bersama Jabatan Pendaftaran Negara dan polis juga akan meningkatkan operasi penguatkuasaan secara bersepadu di kawasan-kawasan penempatan warga asing di seluruh negara,” katanya.
Encik Hamzah menambah tindakan tegas tanpa kompromi seperti kompaun akan diambil ke atas mana-mana pihak yang tidak mematuhi SOP.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.