Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PKP Pemulihan di M'sia dilanjutkan sehingga 31 Dis

Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Malaysia yang dijadual berakhir Isnin ini (31 Ogos) dilanjutkan sehingga 31 Dis, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. 

Anggaran Waktu Membaca:
PKP Pemulihan di M'sia dilanjutkan sehingga 31 Dis

(Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 28 Aug 2020 09:48PM Dikemas Kini : 28 Aug 2020 09:50PM

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Malaysia yang dijadual berakhir Isnin ini (31 Ogos) dilanjutkan sehingga 31 Dis, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. 

Menurut beliau, dengan pelanjutan tempoh PKPP, tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342 masih boleh diambil.

“Ini adalah untuk memastikan semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan yang ditetapkan,” katanya dalam perutusan khas mengenai perkembangan terkini PKPP yang disiarkan di televisyen tempatan. 

Pada 7 Jun lalu, Encik Muhyiddin mengumumkan pelaksanaan PKPP sehingga 31 Ogos bagi menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selepas Malaysia berjaya mengekang penularan pandemik COVID-19 di negaranya.

Encik Muhyiddin menekankan sekiranya berlaku peningkatan kes-kes jangkitan di lokaliti tertentu, kerajaan akan melaksanakan pendekatan secara bersasar seperti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan atau Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar yang sudahpun dilaksanakan di beberapa kawasan sebelum ini.

Menyedari bahawa rakyat Malaysia tidak boleh mengambil mudah risiko penularan virus ‘super spreader’ dalam negara, beliau berkata peraturan kuarantin yang ketat di tempat-tempat tertentu akan terus dikuatkuasakan.

“Negara kita masih berhadapan cabaran getir dalam menangani penularan wabak COVID-19, mengambil kira virus ini masih menular secara aktif di seluruh dunia. Melihat kepada kes-kes yang berlaku di luar negara, virus ini bukan sahaja masih aktif malah menular secara cepat pada skala yang besar," ujarnya.

Menurutnya ia termasuk tindakan kerajaan untuk memperketat kawalan sempadan negara selain mewajibkan rakyat yang pulang dari luar negara dan warga asing yang memasuki Malaysia menjalani perintah kuarantin selama 14 hari di stesen-stesen kuarantin yang ditetapkan. 

Dalam pada itu, beliau menyokong cadangan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menaikkan kadar kompaun bagi kesalahan-kesalahan yang berkaitan sekurang-kurangnya dua atau tiga kali ganda dari kadar sekarang.

Encik Muhyiddin berkata penularan COVID-19 di peringkat global masih belum menunjukkan tanda-tanda ia akan berakhir dalam waktu yang terdekat memandangkan sehingga kini, 22 juta kes positif dilaporkan dengan lebih 780,000 kematian.

"Bagi mengatasi krisis ini, pelbagai pihak sedang berusaha untuk menghasilkan vaksin COVID-19. Pertubuhan Kesihatan Sedunia menjangkakan penularan COVID19 akan berlanjutan untuk satu tempoh masa yang agak lebih lama.

"Justeru, adalah menjadi keutamaan kerajaan pada masa ini untuk mengenal pasti kluster-kluster yang mungkin wujud di negara kita dan mengambil tindakan segera untuk menghalang jangkitan dalam komuniti,” katanya.  

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan