Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PKP 3.0: Pegerai bazar Lembah Klang terkial-kial habiskan stok; restoran siap sedia penjualan merosot

Othlan Jalil, 34 tahun, sedang menyalakan api arang untuk memanggang  kepak ayam yang disalutkan sirap. Tinggal dua hari sahaja sebelum beliau tutup kedai untuk menyambut Lebaran tahun ini. 

Anggaran Waktu Membaca:
PKP 3.0: Pegerai bazar Lembah Klang terkial-kial habiskan stok; restoran siap sedia penjualan merosot

Gambar hiasan rakyat Malaysia di Bazar Ramadan Kelana Jaya. (Gambar fail: Fadza Ishak)

Diterbitkan : 07 May 2021 09:49AM Dikemas Kini : 07 May 2021 09:50AM

KUALA LUMPUR: Othlan Jalil, 34 tahun, sedang menyalakan api arang untuk memanggang kepak ayam yang disalutkan sirap. Tinggal dua hari sahaja sebelum beliau tutup kedai untuk menyambut Lebaran tahun ini.

“Saya mengharapkan kami boleh bertahan sehingga malam raya (12 Mei). Tidak ada cukup masa untuk menghabiskan stok tahun ini," kata peniaga bazar Ramadan itu sambil menambah beliau masih ada 340 kilogram kepak ayam yang belum dimasak di dalam peti beku.

Peniaga yang berjualan di Bazar Ramadan Subang Perdana di Selangor itu berkata pada Khamis (6 Mei): "Sekurang-kurangnya ayam masih boleh dimakan tetapi matlamat saya adalah untuk menjualnya".

“Tetapi tidak mengapa, lebih baik daripada 2020 apabila kami langsung tidak boleh berniaga."

Para pegerai bazar dan restoran di Lembah Klang mengejar masa untuk menghabiskan lebihan stok atau mengalihkan operasi mereka setelah kerajaan memperketatkan semula sekatan-sekatan COVID-19 sebelum cuti Hari Raya minggu depan.

Pada Selasa, Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob mengumumkan enam daerah di Selangor akan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 6 Mei hingga 17 Mei.

Menteri itu menambah pada Rabu bahawa Kuala Lumpur, tiga daerah di Johor termasuk Johor Bahru juga akan diletakkan di bawah PKP mulai 7 Mei hingga 20 Mei.

Di enam daerah terjejas di Selangor, semua bazar perlu ditutup mulai 8 Mei. Orang ramai juga tidak dibenarkan menjamu di tempat-tempat makan mulai 6 Mei.

Bagi wilayah Kuala Lumpur, bazar-bazar masih boleh beroperasi tetapi waktunya disingkatkan. Menjamu di tempat-tempat makan bagaimanapun dilarang mulai 7 Mei.

Sekatan-sekatan terkini itu, atau biasa diberi julukan PKP 3.0, adalah kali ketiga dikuatkuasakan di tengah-tengah lonjakan kes COVID-19.

Di kawasan tempat letak kereta berhampiran stesen LRT Kelana Jaya di Selangor, penjual kuih tepung pelita, Nur Aisyah Syafiah Shamsudin, 26 tahun, sedang bertempur dengan hujan lebat pada lewat petang hari sambil beliau sedaya upaya cuba memastikan meja jualannya kering.

Seorang peniaga bazar Ramadan di Kelana Jaya cuba memastikan gerainya kering di tengah-tengah hujan lebat pada 6 Mei 2021. (Photo: Vincent Tan) 

“Saya hanya perlu menerima pengumuman itu. Mungkin cari tempat lain atau buka gerai di tepi jalan untuk menghabiskan jualan sehingga malam raya," ujar Cik Nur Aisyah pada Khamis.

Beliau berkata beberapa peniaga di bazar stesen LRT sudahpun tutup kedai kerana cuaca buruk sejak awal minggu ini, bahkan sebelum pengumuman MCO.

“Hari ini, saya hanya bawa empat dulang (228 keping tepung pelita). Itu pun, saya tidak pasti kalau saya boleh habis menjual stok hari ini," katanya.

RESTORAN KL JANGKAKAN KEMEROSOTAN PENDAPATAN

Sementara itu, para pengendali restoran di Kuala Lumpur bersiap sedia menghadapi kejatuhan hasil pendapatan bagi musim Hari Raya sedang mereka mengalihkan operasi ke perniagaan berdasarkan penghantaran sekali lagi.

Pengurus Perhubungan Pemasaran Aloft Kuala Lumpur Sentral Natasha Venner-Pack berkata pendapatan daripada pembungkusan dan penghantaran makanan tidak akan sepadan dengan apabila pelanggan menjamu di restoran.

"Bagi (restoran) Nook, termasuk tempat duduk di bahagian luar, kami menyaksikan sekitar 120 pelanggan sehari. Kami ditempah sepenuhnya setiap malam (bagi Ramadan).

“Pendapatan daripada penghantaran dan pembungkusan tidak akan sama dengan menjamu di sini tetapi kami sudah menjangkakannya. Jadi kami hanya melakukan terbaik mungkin dengan apa yang kami mampu dalam keadaan ini," kata beliau.

Pengurus Pemasaran dan Perhubungan EQ Kuala Lumpur Rafina A Rahman berkata pendapatan restoran hotel semestinya akan terjejas dengan dasar di mana pelanggan tidak dibenarkan menjamu di restoran.

“Mujur, dengan pengalaman kami daripada PKP yang lalu, kami boleh menggerakkan perkhidmatan penghantaran dan pembungkusan dengan segera," kata beliau.

Bagi menyesuaikan dengan keadaan, Cik Rafina menambah salah satu restoran hotel itu, Nipah, akan mempunyai tempat pandu lalu bagi tetamu untuk membuat pembelian mereka.

Satu lagi restoran, Etoile Bistro, akan beroperasi bagi menawarkan pembungkusan makanan.

Eksekutif Pemasaran dan Perhubungan Banyan Tree Kuala Lumpur Angela Leow berkata: "Jenis makanan yang boleh dihantar berbeza daripada apa yang kami tawarkan untuk menjamu di restoran supaya kami mempunyai menu berasingan dan harganya juga berbeza. Ya, ia akan menjejas pendapatan."

Beliau menambah usaha sedang dijalankan untuk melancarkan menu bagi khidmat penghantaran.

“Kami mempunyai banyak perkara yang dirancangkan kerana restoran kami biasanya penuh ditempah bagi acara-acara terutamanya seperti Hari Ibu tetapi kini rencana seterus kami adalah untuk melancarkan menu penghantaran.

Pada Khamis, Malaysia mencatatkan 3,551 kes baru COVID-19 sekali gus membawa jumlah keseluruhan kepada 427,927. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan