Skip to main content

Dunia

Pita Limjaroenrat pindahkan saham media kepada pewaris lain

Anggaran Waktu Membaca:
Pita Limjaroenrat pindahkan saham media kepada pewaris lain

Gambar: Bernama

Diterbitkan : 07 Jun 2023 09:29PM
BANGKOK: Pita Limjaroenrat, pemimpin Parti Move Forward, mendedahkan pada Selasa (6 Jun) bahawa beliau telah memindahkan sahamnya dalam firma media Thailand yang tidak lagi beroperasi, iTV Plc, kepada pewaris lain sebagai usaha mengatasi sebarang halangan untuk menjadi perdana menteri.

Pita, yang berusia 42 tahun menjadi calon utama perdana menteri selepas parti beliau mencipta kemenangan mengejut dalam Pilihan Raya Umum Thailand pada 14 Mei lalu.

Encik Pita berkata beliau bersedia melawan kes saham media yang "bermotif politik".
 
Beberapa hari sebelum pilihan raya, Ruangkrai Leekitwatana, seorang calon daripada Parti List Palang Pracharath, meminta Suruhanjaya Pilihan Raya Thai menyiasat kelayakan Pita untuk bertanding kerana perlembagaan Thailand melarang individu yang memiliki saham dalam syarikat media daripada bertanding dalam pilihan raya.

Pita menjelaskan bahawa saham-saham dalam iTV Plc didaftarkan atas namanya kerana mahkamah telah melantik beliau mewakili pewaris lain selepas kematian bapa beliau pada 2006.

Beliau menyatakan iTV tidak lagi beroperasi pada 2007 dan kemudian dikeluarkan daripada Bursa Saham Thailand pada 2014.

"Sementara menghadapi pelbagai tohmahan, saya memutuskan untuk berbincang dengan pewaris lain yang telah mengamanahkan saya memegang saham iTV yang diwarisi daripada arwah bapa saya bagi pihak mereka.

"Kami memutuskan untuk memindahkan saham-saham itu kepada pewaris lain bagi mengelakkan sebarang komplikasi semasa proses pemulihan iTV yang sedang berjalan," tulisnya di Facebook.

Selepas memenangi 151 kerusi dalam Pilihan Raya Umum pada 14 Mei dan meraih lebih 14.2 juta undi, Parti Move Forward dan tujuh parti lain telah membentuk gabungan dengan 313 daripada 500 kerusi di Dewan Perwakilan Rakyat.

Walaupun mempunyai jumlah kerusi yang tinggi, tiada jaminan bahawa gabungan kuasa yang dipimpin oleh Parti Move Forward akan berjaya membentuk kerajaan.

Gabungan kuasa di bawah pimpinan Pita perlu memperoleh 64 undi lagi.

Pita berdepan laluan sukar ekoran 250 senator yang dilantik oleh kerajaan Perdana Menteri Prayuth Chan-o-cha sebelum ini juga mempunyai pengaruh dalam menentukan perdana menteri.

Para senator berkenaan cenderung menyokong parti yang berkaitan dengan tentera Thai.

Sementara itu, gabungan lapan parti yang berharap dapat membentuk kerajaan akan menubuhkan lima kumpulan kerja tambahan bagi menangani pelbagai isu termasuk ekonomi digital, rasuah, reformasi tanah, dan kesihatan awam.

Sehingga kini, sebanyak 12 kumpulan kerja telah ditubuhkan untuk mengatasi pelbagai isu.

"Saya mempunyai peluang untuk membentuk kerajaan baru, saya perlu bekerja lebih awal," katanya.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita