Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pita Limjaroenrat mungkin tidak dibenar sandang jawatan PM kerana pegang saham syarikat media

Anggaran Waktu Membaca:

BANGKOK: Timbalan Perdana Menteri Sementara Thailand Wissanu Krea-ngam memberi bayangan pada Rabu (31 Mei) bahawa bakal Perdana Menteri, Pita Limjaroenrat, mungkin tidak dibenarkan menyandang jawatan perdana menteri disebabkan aduan terhadap pegangan saham Encik Pita dalam sebuah syarikat media, lapor media tempatan. 

Perincian aduan terhadap saham yang dipegang Encik Pita dalam syarikat media iTV Plc akan menjadi faktor utama dalam menentukan kelayakannya bagi jawatan tersebut, kata Encik Wissanu, seperti dipetik Bangkok Post. 

Jika aduan itu menyasarkan kelayakannya untuk menyandang jawatan perdana menteri, Encik Pita masih boleh bertugas sebagai seorang Ahli Parlimen (AP), menurut laporan tersebut. 

"Sekiranya aduan tersebut menyasarkan kedua-duanya, mahkamah akan membuat keputusan bagi kedua-duanya," kata Timbalan Perdana Menteri Sementara itu. 

Encik Pita merupakan ketua dan satu-satunya calon perdana menteri Parti Move Forward yang meraih kemenangan sewaktu pilihan raya umum Thailand pada 14 Mei. 

Sebelum pilihan raya itu berlangsung, Encik Ruangkrai Leekitwattana membuat aduan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya, mendakwa Encik Pita tidak layak dicalonkan kerana beliau memegang saham dalam sebuah syarikat media dan justeru, melanggar perlembagaan. Encik Ruangkrai merupakan seorang calon Perdana Menteri daripada Parti Palang Pracharat yang ada kaitan dengan tentera negara itu. 

Seksyen 98 perlembagaan melarang individu yang bertanding dalam pilihan raya sebagai Ahli Dewan Perwakilan jika mereka memegang saham dalam perniagaan akhbar atau media massa. 

Menurut Bangkok Post, Encik Wissanu berkata, aduan itu mungkin menyasarkan kelulusan Encik Pita bagi keahlian Parti Move Forward. 

"Sekiranya begitu, pilihan raya umum baru harus dilakukan di seluruh negara," Bangkok Post memetik Encik Wissanu. 

Bangkok Post turut melaporkan, Encik Wissanu berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya setakat ini belum mengambil sebarang tindakan dan menasihatkan agar mengelakkan "senario negatif". 

Pada 9 Mei, Encik Pita menerusi satu ciapan di Twitter berkata, beliau tidak prihatin tentang kes itu kerana saham itu dimiliki dana pusaka keluarganya. 

"Status saya adalah sebagai pengurus dana itu dan saya sudah berbincang dan memaklumkannya kepada Suruhanjaya Antirasuah Nasional sebelum ini," tulisnya. 

Parti Move Forward muncul sebagai pemenang pilihan raya Thailand pada 14 Mei, menewaskan parti-parti besar seperti Pheu Thai dengan 151 kerusi di Parlimen. 

Menyusuli kemenangan bersejarah itu, parti tersebut bergabung dengan tujuh sekutu politik, termasuk Pheu Thai, Prachachat, Parti Kebebasan Thai, Thai Sang Thai, Fair, Plung Sungkom Mai dan Pue Thai Rumphlang. 

Ia membentuk 312 kerusi daripada 500 kerusi Dewan Perwakilan. 

Untuk Encik Pita menjadi Perdana Menteri Thailand, partinya memerlukan kelulusan lebih daripada separuh Dewan Undangan Negara yang mempunyai 750 anggota atau sekurang-kurangnya 376 undian di Dewan Perwakilan atau Senat. 

Beberapa ahli senat masih belum membuat keputusan sama ada mereka akan menyokong Encik Pita menjadi perdana menteri, manakala ada juga yang terang-terangan berkata mereka akan mengundi menentangnya.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan