Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pintu gerbang ini semarakkan sambutan Aidilfitri di selatan Thailand

Anggaran Waktu Membaca:

NARATHIWAT: Pintu gerbang yang dihiasi indah dengan pelita buluh dan lampu LED di laluan masuk masjid memeriahkan lagi sambutan Hari Raya Aidilfitri di empat wilayah selatan Thailand – Narathiwat, Pattani, Yala dan Songkhla.

Suasana itu menjadi satu lagi tarikan unik sempena Syawal.

Pada raya pertama, penduduk kampung tidak melepaskan peluang bergambar di pintu gerbang itu.

Sejak tiga tahun lalu, sepanjang Ramadan penduduk kampung di keempat-empat wilayah selatan yang majoriti penduduknya beragama Islam, tanpa mengira usia bersemangat menghiasi pintu gerbang yang mengetengahkan idea kreatif masing-masing untuk memeriahkan lagi suasana raya.

Setiausaha Civil Society Assembly for Peace (CAP) Hasan Mohd Tola berkata, kira-kira 800 masjid menyertai pertandingan menghias pintu gerbang pada tahun ini berbanding 350 masjid pada tahun lalu.

“Menghias pintu gerbang bukan sahaja dapat menghidupkan suasana ceria dan meriah sempena Aidilfitri malah ia dapat memupuk semangat perpaduan dan mengeratkan silaturahim dalam kalangan penduduk tempatan.

“Selain itu, cetusan idea kreatif dalam kalangan penduduk dapat menyerlahkan lagi keunikan seni bina Melayu tradisional,” katanya kepada Bernama.

Antara syarat pertandingan termasuk pintu gerbang wajib mempunyai lambang seni bina Islam dan seni ukir Melayu.

Pertandingan anjuran CAP, iaitu sebuah badan bukan kerajaan, menawarkan wang tunai berjumlah 10,000 baht (S$400.92) dan pakej pelancongan kepada pemenang.

Sumber : Bernama/AW/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan