Skip to main content

Dunia

Pilkada Indonesia: Semua mata tertumpu sama ada kem Presiden Prabowo atau PDI-P akan menang

Seramai 207 juta rakyat layak mengundi untuk memilih 545 penyandang jawatan gabenor, walikota (datuk bandar) dan bupati atau ketua daerah serta naib masing-masing.

Anggaran Waktu Membaca:
Pilkada Indonesia: Semua mata tertumpu sama ada kem Presiden Prabowo atau PDI-P akan menang

Tiga calon bersaing untuk jadi gabenor Jakarta. (Dari kiri) Ridwan Kamil, Dharma Pongrekun, Pramono Anung ketika di satu acara di ibu pejabat Polis Jakarta pada 21 Nov, 2024. (Gambar: CNA/Wisnu Agung Prasetyo)

Diterbitkan : 27 Nov 2024 07:16AM Dikemas Kini : 27 Nov 2024 08:34AM
  • Selepas memilih Presiden mereka pada Februari lalu, rakyat Indonesia kembali ke pusat-pusat mengundi pada Rabu (27 Nov) dalam Pemilihan Kepala Daerah atau Pilkada.
  • Inilah kali pertama Pilkada diadakan secara serentak di seluruh Indonesia selepas undang-undang mengenainya diluluskan pada tahun 2022.
  • Pemilihan kali ini bakal menjadi sengit kerana Jakarta memainkan peranan penting sebagai ibu kota negara.
  • Kejayaan menjadi Gabenor Jakarta dianggap sebagai batu loncatan untuk menyandang jawatan lebih tinggi termasuk sebagai Presiden Indonesia.
Dijana oleh AI
JAKARTA: Selepas memilih Presiden mereka pada Februari lalu, rakyat Indonesia kembali ke pusat-pusat mengundi pada Rabu (27 Nov) dalam Pemilihan Kepala Daerah atau Pilkada.

Seramai 207 juta rakyat layak mengundi untuk memilih 545 penyandang jawatan gabenor, walikota (datuk bandar) dan bupati atau ketua daerah serta naib masing-masing.

Proses pasca Pemilihan Umum (Pemilu) dan Pemilihan Presiden (Pilpres) itu akan melibatkan 37 provinsi, 415 kabupaten dan 93 kota di seluruh Indonesia.

Inilah kali pertama Pilkada diadakan secara serentak di seluruh Indonesia selepas undang-undang mengenainya diluluskan pada tahun 2022.

Sistem ini diperkenalkan untuk menyelaraskan pemilihan kepala daerah di semua wilayah, kabupaten, dan kota.

Bagaimanapun, terdapat beberapa pengecualian, termasuk Provinsi Istimewa Yogyakarta yang tidak melaksanakan Pilkada.

Di Yogyakarta, kepala daerah tidak dipilih melalui pemilihan umum.

Sebaliknya ditetapkan berdasarkan sistem kerajaan dengan Sultan Yogyakarta secara automatik menjawat jawatan gabenor.

Sementara itu, di Daerah Khusus Ibu Kota (DKI) Jakarta, jawatan bupati dan walikota dilantik oleh gabenor dengan persetujuan Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) mengikut Undang-Undang No. 29 Tahun 2007.

Pilkada di Jakarta menarik perhatian kerana sistemnya yang unik.

Ini kerana Jakarta menjadi satu-satunya provinsi di Indonesia yang melaksanakan Pilkada dalam dua pusingan sekiranya tiada pasangan calon gabenor dan wakil gabenor mendapat lebih daripada 50 peratus undi pada pusingan pertama.

Pemilihan kali ini bakal menjadi sengit kerana Jakarta memainkan peranan penting sebagai ibu kota negara.

Bagi jawatan gabenor, berlaku persaingan tiga penjuru termasuk seorang calon bebas.

Namun perhatian akan lebih menjurus kepada mantan Setiausaha Kabinet, Pramono Anung dan mantan Gabenor Jawa Barat, Ridwan Kamil.

Encik Pramono mendapat sokongan Partai Demokrasi Indonesia Perjuangan atau PDI-P dan mantan gabenornya, Dr Anies Baswedan manakala Encik Ridwan Kamil disokong Presiden Prabowo Subianto serta mantan Presiden Joko Widodo.

Kejayaan menjadi Gabenor Jakarta dianggap sebagai batu loncatan untuk menyandang jawatan lebih tinggi termasuk sebagai Presiden Indonesia.

Bagi Presiden Prabowo pula, Pilkada hari ini merupakan cabaran politik pertama beliau selepas menyandang jawatan itu pada bulan lalu.

Jika ramai calon yang menyokong beliau, menang, ia akan memudahkan Presiden Prabowo menjayakan pelaksanaan dasar-dasar beliau di peringkat tempatan.

Pengundian bermula pada 7.00 pagi waktu tempatan dan berakhir pada 1.00 tengah hari.

Kiraan kertas undi akan dilakukan sejurus semua pusat mengundi ditutup dan dijangka berterusan sehingga 16 Disember.

 
Sumber : CNA/MU/su
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita