Pilihan Trump calonkan Warsh pengerusi Rizab Persekutuan boleh bawa perubahan besar
WASHINGTON: Pilihan Presiden Donald Trump untuk mencalonkan Kevin Warsh sebagai pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) berpotensi membawa perubahan besar kepada bank pusat yang menguasai ekonomi dan pasaran global.
Jika diluluskan oleh Senat, Encik Warsh akan berada di bawah penelitian rapi pasaran kewangan dan Kongres, memandangkan beliau dilantik oleh seorang presiden yang secara terbuka menuntut kadar faedah jauh lebih rendah daripada apa yang dianggap wajar oleh ramai ahli ekonomi berdasarkan keadaan ekonomi sedia ada.
Sama ada beliau mampu mengekalkan kebebasan Fed daripada campur tangan politik harian sambil memenuhi kehendak Trump akan menjadi satu cabaran besar.
Namun begitu, bekas rakan sekerja dan sahabat Encik Warsh berkata beliau mempunyai kekuatan intelektual serta kemahiran perhubungan yang berpotensi membolehkannya mengharungi cabaran tersebut.
Keluarganya juga mempunyai kaitan dengan Encik Trump, yang mungkin dapat mengurangkan tekanan daripada Rumah Putih.
Encik Warsh mempunyai “sikap yang berhati-hati serta kefahaman intelektual dan juga kebolehan diplomatik untuk mengemudi jawatan yang mencabar pada ketika ini,” kata Raghuram Rajan, profesor ekonomi di Universiti Chicago dan mantan ketua bank pusat India.
Encik Warsh akan menggantikan pengerusi sedia ada, Jerome Powell, apabila tempoh jawatannya tamat pada Mei.
Encik Trump memilih Powell untuk mengetuai Fed pada 2017, namun sejak tahun ini kerap mengkritiknya kerana tidak menurunkan kadar faedah dengan cukup pantas.
“Saya telah mengenali Kevin sejak sekian lama, dan saya tidak berasa ragu bahawa beliau akan dikenang sebagai salah seorang pengerusi Fed TERHEBAT, mungkin yang terbaik,” tulis Trump di media sosial pada Jumaat (30 Jan).
“Selain daripada semua itu, beliau benar-benar sesuai, dan beliau tidak akan mengecewakan anda,” tambahnya.
Encik Trump kemudian berkata di Rumah Putih bahawa beliau tidak meminta Encik Warsh berjanji untuk menurunkan kadar faedah, sambil menyifatkan soalan sedemikian sebagai “tidak wajar” dan menambah: “Saya mahu memastikan ia kekal bersih.”
Namun, Encik Trump menambah: “Tetapi beliau sememangnya mahu menurunkan kadar faedah.”
Pelantikan itu, yang memerlukan pengesahan Senat, ibarat kepulangan bagi Warsh, 55 tahun, yang pernah menjadi ahli lembaga Fed dari 2006 hingga 2011.
Beliau merupakan gabenor termuda dalam sejarah Fed apabila dilantik pada usia 35 tahun.
Ketika ini, beliau ialah zamil di Hoover Institution yang berhaluan kanan serta pensyarah di Sekolah Perniagaan Siswazah Stanford.
Dalam beberapa aspek, Encik Warsh dilihat sebagai pilihan yang tidak dijangka bagi presiden Republican itu kerana beliau sekian lama menyokong kadar faedah yang lebih tinggi untuk mengawal inflasi.
Sebaliknya, Encik Trump berkata kadar dasar Fed sepatutnya serendah 1 peratus, satu tahap yang tidak disokong oleh kebanyakan ahli ekonomi dan jauh lebih rendah daripada paras sedia ada sekitar 3.6 peratus.
Sepanjang tempohnya sebagai gabenor, Encik Warsh membantah sebahagian dasar kadar faedah rendah yang dilaksanakan Fed sedia ada.
Beliau juga sering menyuarakan kebimbangan bahawa inflasi akan meningkat dengan pantas, walaupun hakikatnya inflasi kekal pada tahap sangat rendah selama bertahun-tahun selepas kemelesetan ekonomi pada 2008 hingga 2009 berakhir.
Namun, kebelakangan ini, melalui ucapan dan rencana pendapat, Encik Warsh menyatakan sokongannya terhadap kadar faedah yang lebih rendah, seakan-akan selaras dengan pandangan Encik Trump.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.