Skip to main content

Dunia

Pilihan Raya Umum Thai tidak penuhi piawai antarabangsa

Sebuah kumpulan pemantau menyatakan Pilihan Raya Umum Thailand pada Ahad lalu (24 Okt) tidak memenuhi piawai antarabangsa untuk dianggap sebagai benar-benar bebas dan adil.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 26 Mar 2019 09:42PM Dikemas Kini : 26 Mar 2019 09:50PM

BANGKOK: Sebuah kumpulan pemantau menyatakan Pilihan Raya Umum Thailand pada Ahad lalu (24 Okt) tidak memenuhi piawai antarabangsa untuk dianggap sebagai benar-benar bebas dan adil.

Kumpulan Asian Network For Free Elections (ANFREL)mendedahkan hasil penilaiannya itu dalam satu sidang media di Bangkok hari ini (26 Mac).

ANFREL merupakan satu-satunya kumpulan pemantau antarabangsa yang mendapat kebenaran dari kerajaan Thailand untuk memantau proses Pilihan Raya negara itu selama kira-kira 45 hari.

Dalam sidang media tersebut ANFREL turut mengkritik proses kiraan undi yang mencetuskan rasa syak wasangka.

"Mengenai kiraan undi dan penyelarasan keputusannya, kami berpendapat banyak cacatnya. Mengapa? Kami tidak dibenarkan melihatnya, kami tidak begitu faham tentang prosesnya dan itu sendiri merupakan sesuatu yang tidak dapat diterima dalam proses demokratik," menurut pegawai program AMFREL Amael Vier.

"Kamu mungkin mempunyai pilihan raya yang diurus dengan amat baik di dunia tetapi jika orang ramai tidak dapat melihatnya atau tidak mempercayainya, ia bukan pilihan raya yang sempurna."

Pilihan Raya Umum kelmarin bertujuan memulihkan kerajaan demokratik di Thailand setelah tentera merampas kuasa pada 2014.

Bagaimanapun sehingga hari ini, pemenangnya belum pasti.

Ia berikutan adanya sistem agihan kerusi parlimen di samping pemilihan secara langsung 350 anggota parlimen semasa pilihan raya kelmarin.

Semalam Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan keputusan awal pemenang bagi 350 kerusi parlimen itu.

Parti Pheu Thai yang ada kaitan dengan mantan Perdana Menteri Thaksin Shinawatra menang 137 kerusi.

Parti Phalang Pracharat yang pro-tentera pimpinan Perdana Menteri Prayut Chan-ocha pula memperolehi 97 kerusi.

Keputusan muktamad akan hanya diketahui menjelang 9 Mei apabila Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan agihan baki 150 kerusi parlimen mengikut senarai parti.

Bagaimanapun parti-parti utama sudah memulakan usaha untuk membentuk kerajaan campuran masing-masing kerana tanda-tanda menunjukkan tiada parti yang boleh membentuk sendiri kerajaan.

Sumber : Agensi berita/MU/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita