Pilihan raya Thailand: Parti Move Forward isytihar menang, pemimpin Pita Limjaroenrat sedia bentuk kerajaan

Pita Limjaroenrat, pemimpin Parti Move Forward (MFP), berucap kepada media sedang beliau mengumumkan kemenangannya dalam pilihan raya yang berlangsung pada Ahad di ibu pejabat partinya di Bangkok pada Isnin (15 Mei). (Gambar: AP/Wason Wanichakorn)
Dengan semua undi sudah dikira, Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand mengisytiharkan, Parti Move Forward (MFP) menduduki tempat pertama dengan 151 kerusi sementara Phue Thai di tangga kedua dengan 141 kerusi.
Menyusuli kemenangannya itu, pemimpin MFP, Pita Limjaroenrat, 42 tahun, mengisytiharkan bahawa beliau akan menjadi Perdana Menteri Thailand yang baru dan bersedia membentuk kerajaan perikatan enam parti.
"Adalah jelas bahawa rakyat Thailand telah menyatakan kehendak mereka di pusat mengundi untuk memilih Parti Move Forward," kata Encik Pita, dalam satu sidang media di ibu pejabat MFP.
"Saya ingin mengumumkan di sini bahawa Parti Move Forward bersedia untuk menerajui pembentukan kerajaan masa depan."
Kira-kira 39.3 juta orang keluar mengundi pada Ahad untuk memilih 500 anggota Dewan Rakyat.
Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand (ECT) melaporkan pada Isnin bahawa peratusan rakyat yang keluar mengundi adalah 75.22 peratus, menjadikannya tertinggi dalam sejarah politik Thailand.
Menurut Encik Pita, pihaknya telah berhubungan dengan sekutu politiknya untuk membentuk kerajaan seterusnya.
Mereka termasuk Pheu Thai, Pracharat, Thai Sang Thai dan Seri Ruam Thai.
Bersama-sama mereka mempunyai 308 kerusi, yang cukup untuk membentuk kerajaan majoriti dalam Dewan Rakyat yang mempunyai 500 anggota.
Phue Thai turut memberi jawapan positif dan menyatakan, ia bersetuju bekerjasama dengan MFP dan tidak merancang membentuk kerajaan dengan pihak-pihak lain.
Dua parti yang bersekutu dengan pihak tentera pula kalah teruk dan mendapat sejumlah 76 kerusi sahaja.
Keputusan ini sekali gus suatu penolakan terhadap parti-parti yang disokong tentera, yang memerintah Thailand sejak sedekad lalu.
Data Suruhanjaya Pilihan Raya menunjukkan, MFP yang berkempen atas agenda liberal dan perubahan, berada di tempat teratas undi popular dengan lebih 14 juta undi.
Ia diikuti oleh Phue Thai dengan hampir 11 juta undi.
Parti United Thai Nation pimpinan Perdana Menteri dan bekas pemimpin junta tentera, Prayut Chan-o-cha berada jauh di belakang dengan 4.7 juta undi.
Move Forward mendapat sokongan besar dari pengundi muda.
Semasa berkempen, parti itu menjanjikan perubahan dan pembaharuan termasuk menghapuskan undang-undang menghina raja.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.