Skip to main content

Dunia

Pilihan raya pusat dan kepala daerah tidak lagi akan diadakan serentak di Indonesia

Keputusan Mahkamah Perlembagaan Indonesia baru-baru ini yang menetapkan bahawa pemilu pusat dan daerah akan diadakan secara berasingan bermula 2029 disambut baik sebagai langkah memperkukuh demokrasi dan memberi penekanan lebih besar kepada isu tempatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Pilihan raya pusat dan kepala daerah tidak lagi akan diadakan serentak di Indonesia

Seorang wanita memasukkan kertas undinya bagi pemilihan gabenor Jakarta pada 27 November 2024 di sebuah pusat mengundi di Jembatan Lima, Jakarta Barat. (Gambar: CNA/Wisnu Agung Prasetyo)

JAKARTA: Keputusan Mahkamah Perlembagaan Indonesia baru-baru ini yang menetapkan bahawa pemilu pusat dan daerah akan diadakan secara berasingan bermula 2029 disambut baik sebagai langkah memperkukuh demokrasi dan memberi penekanan lebih besar kepada isu tempatan.

Namun ia juga boleh membawa cabaran kepada parti politik, kata para pemerhati kepada Mediacorp.

Pada 26 Jun, Mahkamah Perlembagaan memutuskan bahawa bermula 2029, pemilu pusat dan daerah akan diadakan dengan jarak dua hingga dua setengah tahun - tidak seperti pada 2024 dan 2019 apabila lima jenis pilihan raya diadakan secara serentak.

Dalam pilihan raya presiden dan legislatif pada 14 Februari tahun lalu, rakyat Indonesia keluar mengundi untuk memilih pasangan presiden dan naib presiden, ahli Dewan Perwakilan, Majlis Perwakilan Daerah serta Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (wilayah, bandar dan daerah).

Negara itu mengundi sekali lagi dalam Pemilihan Kepala Daerah (Pilkada) pada 27 November tahun lalu untuk memilih 37 gabenor, 93 datuk bandar dan 415 bupati (kepala daerah kabupaten).

Keputusan 26 Jun itu bermakna pada 2029, rakyat Indonesia akan mengundi untuk memilih pasangan presiden dan naib presiden serta ahli Dewan Perwakilan dan Majlis Perwakilan Daerah seperti yang dijadualkan.

Namun dua undi bagi jawatan di Dewan Perwakilan Daerah akan dilaksanakan sekurang-kurangnya dua tahun kemudian - iaitu pada 2031 - bersama Pilkada untuk memilih gabenor, datuk bandar dan bupati.

Keputusan ini dibuat untuk meningkatkan mutu pilihan raya Indonesia dan mempermudah proses pengundian, kata Hakim Arief Hidayat dari Mahkamah Perlembagaan, yang membuat keputusan tersebut berdasarkan semakan kehakiman yang difailkan oleh NGO Perkumpulan untuk Pemilu dan Demokrasi (Perludem).

Timbalan Ketua Mahkamah Perlembagaan, Saldi Isra, menambah bahawa keputusan itu juga akan mengurangkan keletihan dalam kalangan pengundi, yang dialami ramai penduduk semasa pilihan raya serentak tahun lalu.

Para hakim turut berharap bahawa melalui pemisahan ini, isu nasional tidak akan menenggelamkan isu daerah, dan parti politik mempunyai lebih masa untuk mempersiapkan calon mereka.

ISU DAERAH DAPAT "PERHATIAN SEWAJARNYA"

Penganalisis politik percaya perubahan ini membuka jalan kepada pemisahan yang lebih jelas antara pemilu pusat dan daerah, dan memberikan lebih tumpuan kepada isu daerah.

“Ini akan membolehkan isu-isu daerah ditangani secara berasingan.

"Di bawah format pilihan raya serentak, kempen pusat, terutamanya pemilihan presiden, mendominasi perbualan dan menenggelamkan isu-isu daerah,” kata Ray Rangkuti, pengarah kumpulan pemikir Lingkar Madani.

“Dengan pemisahan ini, isu daerah boleh timbul secara tersendiri dan menerima perhatian yang mereka perlukan.”

Turut menyambut baik keputusan itu ialah Agung Baskoro, pengarah eksekutif kumpulan pemikir politik Trias Politika Strategis.

Beliau berkata pemisahan pemilu pusat dan daerah memberi kejelasan yang sangat diperlukan oleh pengundi.

“Apabila kedua-dua pilihan raya diadakan serentak, tumpuan awam lebih kepada pemilihan presiden, meninggalkan agenda Pilkada terpinggir,” kata Encik Agung.

“Dengan pemisahan ini, pengundi kini boleh meneliti latar belakang calon legislatif dengan lebih teliti, sama ada di peringkat nasional mahupun daerah, mengikut kawasan masing-masing – sesuatu yang sering diabaikan sebelum ini.”

Beliau menambah bahawa pemisahan ini juga membolehkan calon legislatif membuat persediaan lebih mendalam dan menjalankan kempen yang tidak tergesa-gesa.

Parti politik pula mendapat lebih masa dan fleksibiliti untuk menyaring dan memilih calon yang sesuai bagi jawatan legislatif daerah dan kepimpinan daerah.

Pemisahan ini juga dijangka mengurangkan beban logistik yang timbul dalam pilihan raya serentak, seperti pengedaran dan pencetakan kertas undi, penyediaan kotak mengundi dan cabaran teknikal lain.

TENTANGAN DARIPADA PARTI POLITIK?

Namun begitu, beberapa parti politik menyatakan kebimbangan dan ada yang membantah keputusan ini.

Parti NasDem secara terbuka menolak keputusan Mahkamah Perlembagaan tersebut.

Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) telah mengadakan sesi perbicaraan dan rundingan awam pada Jumaat (4 Julai), dan memberi ruang kepada beberapa tetamu yang mengkritik perubahan ini, menurut laporan Jakarta Post.

Sebagai contoh, mantan Menteri Undang-Undang dan Hakim Mahkamah Perlembagaan, Patrialis Akbar — yang pernah disabitkan dengan rasuah — menyokong kebimbangan sesetengah ahli parlimen dan mempersoalkan sama ada keputusan itu bertentangan dengan perlembagaan, yang menetapkan pilihan raya presiden dan legislatif mesti diadakan setiap lima tahun.

Seorang wakil parti politik turut menyuarakan kebimbangannya kepada Mediacorp.

Encik Muhammad Khozin dari Partai Kebangkitan Bangsa (PKB) berhujah bahawa keputusan 26 Jun tidak menyelesaikan masalah pemilu pusat dan daerah serentak, malah mungkin menambah kerumitan.

Memandangkan tempoh perkhidmatan anggota dewan daerah hanya sehingga 2029, siapa yang akan menggantikan mereka jika Pilkada hanya diadakan pada 2031, soal beliau.

Parti-parti juga sedang mengkaji kesan kewangan daripada keputusan itu, kerana mereka mungkin perlu menyediakan belanjawan lebih besar untuk menghadapi dua fasa pilihan raya berasingan.

“Sebagai contoh, dalam konteks strategi parti, hampir semua parti kini menggunakan strategi 'tandem' semasa berkempen,” kata Encik Muhammad dari PKB.

Beliau merujuk kepada penggunaan strategi kempen yang sama bagi calon di semua peringkat - termasuk papan iklan yang dikongsi - untuk menjimatkan kos.

“Apabila pilihan raya diadakan serentak di peringkat nasional dan daerah, kosnya lebih rendah kerana isu yang dibawa adalah sama. Tapi bagaimana keadaannya kelak?” soalnya.

Encik Budi Sulistyono dari Partai Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) - parti terbesar di Indonesia - bagaimanapun berkata keputusan itu memberi masa tambahan kepada parti untuk mempersiapkan calon.

“Ia lebih mudah untuk parti kerana kita boleh fokus kepada pilihan raya presiden dahulu dan kemudian Pilkada, supaya akhirnya kader-kader di daerah juga mempunyai lebih banyak autonomi,” kata Encik Budi kepada Mediacorp.

Anggota-anggota parti juga akan lebih fokus kepada isu-isu daerah yang mereka perjuangkan, tambah beliau.

Encik Eddy Soeparno dari Partai Amanat Nasional (PAN) turut berkongsi sentimen serupa.

Beliau berkata antara kelebihan mengadakan pemilu pusat dan daerah pada tahun yang berbeza ialah isu daerah boleh dibincangkan secara lebih mendalam.

“Ia tidak akan lagi diketepikan oleh isu nasional kerana pilihan raya diadakan secara berasingan,” kata Encik Eddy.
Sumber : CNA/IM/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita