Skip to main content

Dunia

Pilihan Raya Presiden Indonesia: Golongan milenial, Gen Z pilih Ganjar; mahu pembangunan diteruskan, kata pengamat

Anggaran Waktu Membaca:
Pilihan Raya Presiden Indonesia: Golongan milenial, Gen Z pilih Ganjar; mahu pembangunan diteruskan, kata pengamat

(Gambar: Ganjar Pranowo/Facebook)

Diterbitkan : 20 Sep 2023 09:43AM
JAKARTA: Pengamat politik dari Saiful Mujani Research & Consulting (SMRC) Saidiman Ahmad menilai kalangan milenial dan Generasi Z (Gen Z) condong akan memilih Ganjar Pranowo pada Pilihan Raya Presiden 2024 kerana mahu prestasi pembangunan semasa era Presiden Joko Widodo diteruskan.

"Disebabkan mereka menghargai Pemerintah, maka aspirasi politiknya juga lebih ke Ganjar, kerana Ganjar dianggap sebagai bahagian lanjutan Pak Jokowi; konsisten itu," kata Encik Saidiman kepada ANTARA pada Selasa (19 Sep).

Berdasarkan hasil tinjauan SMRC, tambah Encik Saidiman, golongan milenial dan Gen Z lebih menghargai pemerintah berbanding golongan lebih tua.

Beliau menjelaskan berdasarkan tinjauan yang dilakukan SMRC, generasi muda sedia maklum tentang politik sehingga dapat mengenal pasti tokoh yang dapat melanjutkan pembangunan Jokowi.

"Oleh itu, kalangan muda lebih menghargai pembangunan dan tahu siapa tokoh yang dapat melanjutkan pembangunan; dan sekarang muncul dalam sosok Ganjar Pranowo," kata Encik Saidiman.

Golongan milenial dianggap lebih rasional dalam menilai baik dan positif prestasi pemerintah. Selain itu, dari segi pilihan politik, baik parti mahupun calon presiden, golongan tersebut akan memilih yang dianggap sebagai tokoh yang sebahagian daripada pemerintah dan berjaya.

"Jadi, parti seperti PDI Perjuangan yang dianggap sebagai parti utama pendukung pemerintah (memiliki kelebihan). Kemudian (Bakal) calon seperti Ganjar Pranowo (juga) memang seperti dipersiapkan untuk melanjutkan kerja Jokowi, selain dia juga satu parti dengan Jokowi," jelasnya, seperti dipetik ANTARA.

Pada Pemilihan Umum (Pemilu) 2024 nanti, jumlah pemilih berumur bawah 40 tahun cukup besar, iaitu sekitar 60 peratus daripada jumlah pengundi.

Atas sebab itu, menurut Encik Saidiman, para bakal calon harus mempertimbangkan tiga isu yang dianggap penting oleh golongan milenial dan Gen Z, iaitu lapangan kerja, lingkungan, dan rasuah.

"Jadi, untuk membuat mereka terlibat politik atau mahu lebih berminat dalam politik, harus menyentuh isu yang relevan, yang mereka anggap penting," ujarnya.

Apabila tiga hal itu dapat dijawab, menurut Encik Saidiman, maka akan dapat memberikan huraian konkrit yang akan menarik generasi muda untuk terlibat dalam politik.
Sumber : Agensi berita/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita