Pilihan raya pertengahan penggal Amerika cipta sejarah, calon minoriti dipilih pegang jawatan kepimpinan buat kali pertama
Pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat pada Selasa (3 Nov) mencatat beberapa pencapaian bersejarah bagi wakil kumpulan minoriti, ketika Parti Democrat meraih kemenangan besar yang memberikan tamparan hebat kepada Presiden Donald Trump.
Calon gabenor Parti Democrat, Deb Haaland, menghadiri majlis meraikan kemenangannya dalam pemilihan awal parti di Albuquerque, New Mexico, pada Selasa (2 Jun 2026). (Gambar: AP/Jon Austria)
- The United States midterm elections on Nov 3 gave the Democratic Party a major victory and marked historic progress in minority representation, dealing a blow to President Donald Trump.
- In Georgia, Keisha Lance Bottoms became the first Black woman elected governor, and her victory returned the office to the Democrats after more than 20 years under Republican control.
- Chris Pappas made history as the first openly gay man elected to the Senate, while Deb Haaland became the first Native American woman governor and Gina Hinojosa the first Latina woman governor in Texas.
- Abdul El-Sayed is still in the running to become the first Muslim senator, while Hakeem Jeffries could become the first Black Speaker; Bill Shiebler sees the results as a rejection of division and efforts to suppress the people’s voice.
- Pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat pada 3 November membawa kemenangan besar kepada Parti Democrat dan mencatat kemajuan bersejarah dalam perwakilan kumpulan minoriti, sekali gus memberi tamparan kepada Presiden Donald Trump.
- Di Georgia, Keisha Lance Bottoms menjadi wanita kulit hitam pertama dipilih sebagai gabenor, dan kemenangannya mengembalikan jawatan itu kepada Democrat selepas lebih 20 tahun dikuasai Republican.
- Chris Pappas mencatat sejarah sebagai lelaki gay pertama yang terbuka dipilih ke Senat, manakala Deb Haaland menjadi gabenor wanita Orang Asli Amerika pertama dan Gina Hinojosa gabenor wanita pertama berketurunan Amerika Latin di Texas.
- Abdul El-Sayed masih bersaing untuk menjadi senator Muslim pertama, sementara Hakeem Jeffries berpotensi menjadi Speaker kulit hitam pertama; Bill Shiebler melihat keputusan itu sebagai penolakan perpecahan dan usaha menyekat suara rakyat.
LOS ANGELES: Pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat pada Selasa (3 Nov) mencatat beberapa pencapaian bersejarah bagi wakil kumpulan minoriti, ketika Parti Democrat meraih kemenangan besar yang memberikan tamparan hebat kepada Presiden Donald Trump.
Antara pencapaian utama ialah pemilihan gabenor wanita kulit hitam pertama, senator lelaki pertama yang secara terbuka mengakui dirinya gay serta gabenor wanita pertama daripada masyarakat Orang Asli Amerika.
Ketua Pegawai Strategi pertubuhan bukan berasaskan keuntungan State Voices, Bill Shiebler, menyifatkan keputusan tersebut sebagai penolakan besar terhadap kebencian dan perpecahan.
Encik Shiebler berkata keputusan itu menunjukkan semakin ramai pengundi melihat diri mereka diwakili oleh pemimpin yang berasal daripada masyarakat masing-masing.
Beliau turut menyifatkannya sebagai perkembangan penting dalam amalan demokrasi yang melibatkan masyarakat pelbagai kaum.
WANITA KULIT HITAM PERTAMA DIPILIH SEBAGAI GABENOR
Di Georgia, calon Parti Democrat, Keisha Lance Bottoms, mencipta sejarah apabila menjadi wanita kulit hitam pertama dipilih sebagai gabenor di mana-mana negeri Amerika Syarikat.
Bekas Datuk Bandar Atlanta itu menewaskan ahli perniagaan hartawan dalam sektor penjagaan kesihatan, Rick Jackson.
Kemenangan tersebut turut membolehkan Parti Democrat merampas semula jawatan gabenor Georgia selepas lebih 20 tahun dikuasai Parti Republican.
Sementara itu, di New Hampshire, anggota Dewan Perwakilan daripada Parti Democrat, Chris Pappas, menjadi lelaki pertama yang secara terbuka mengakui dirinya gay dipilih menganggotai Senat Amerika Syarikat.
Encik Pappas, yang berkhidmat dalam Dewan Perwakilan sejak 2019, sebelum ini menegaskan bahawa tiada sesiapa patut didiskriminasi kerana identiti diri atau individu yang mereka cintai.
DEB HAALAND CIPTA SEJARAH DI NEW MEXICO
Di New Mexico, calon Parti Democrat, Deb Haaland, menjadi wanita pertama daripada masyarakat Orang Asli Amerika dipilih sebagai gabenor selepas menewaskan calon Parti Republican, Gregg Hull.
Cik Haaland, yang berasal daripada suku Laguna Pueblo, sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Dalam Negeri di bawah pemerintah mantan Presiden Joe Biden.
Beliau juga merupakan individu pertama daripada masyarakat Orang Asli Amerika yang dilantik menganggotai Kabinet Amerika Syarikat.
Di Texas pula, calon Parti Democrat, Gina Hinojosa, mencipta sejarah sebagai wanita pertama berketurunan Amerika Latin dipilih menjadi gabenor negeri itu.
CALON MUSLIM BURU KERUSI SENAT
Di Michigan, calon Parti Democrat, Abdul El-Sayed, turut menjadi tumpuan dalam persaingan sengit bagi merebut kerusi Senat.
Encik El-Sayed berusaha mencipta sejarah sebagai individu Muslim pertama dipilih menganggotai Senat Amerika Syarikat.
Bekas pentadbir perubatan itu berjaya menarik kehadiran ramai penyokong dalam kempen pilihan rayanya, termasuk menerusi janji menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan secara percuma.
Bagaimanapun, keputusan pertandingan tersebut masih belum dimuktamadkan ketika laporan ini diterbitkan.
HAKEEM JEFFRIES BERPOTENSI CIPTA SEJARAH
Satu lagi pencapaian bersejarah mungkin dicatatkan sekiranya Ketua Minoriti Dewan Perwakilan, Hakeem Jeffries, dipilih sebagai Speaker dalam penggal baharu Kongres.
Jika terpilih, Encik Jeffries akan menjadi individu kulit hitam pertama memegang jawatan Speaker Dewan Perwakilan dalam sejarah Amerika Syarikat.
Encik Shiebler menyifatkan pilihan raya kali ini sebagai detik bersejarah apabila pengundi memilih untuk menaruh keyakinan terhadap masa depan negara mereka.
Beliau berkata keputusan tersebut turut mencerminkan penolakan terhadap usaha yang dianggapnya menyekat suara rakyat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.