Skip to main content

Dunia

Pilihan raya pertama BARMM: Mengapa undian bersejarah di selatan Filipina penting?

Hampir 2.4 juta pengundi berdaftar di selatan Filipina yang majoriti penduduknya beragama Islam keluar mengundi pada Isnin (14 Sep) dalam pilihan raya Parlimen pertama Wilayah Autonomi Bangsamoro di Mindanao Muslim (BARMM).

Anggaran Waktu Membaca:
Pilihan raya pertama BARMM: Mengapa undian bersejarah di selatan Filipina penting?

Para pengundi mencari pusat mengundi masing-masing semasa pilihan raya Parlimen pertama Wilayah Autonomi Bangsamoro di Mindanao Muslim (BARMM) di Pahamuddin, Cotabato, Filipina, pada 14 Sep 2026. (Gambar: REUTERS/Manman Dejeto)

Diterbitkan : 14 Sep 2026 06:33PM
MANILA: Hampir 2.4 juta pengundi berdaftar di selatan Filipina yang majoriti penduduknya beragama Islam keluar mengundi pada Isnin (14 Sep) dalam pilihan raya Parlimen pertama Wilayah Autonomi Bangsamoro di Mindanao Muslim (BARMM).

Pilihan raya itu menandakan kemuncak proses damai selama lebih sedekad yang bertujuan menamatkan pemberontakan pemisah dan melengkapkan peralihan daripada pemerintah sementara kepada pemerintahan sendiri yang dipilih rakyat.

APA ITU BARMM?

BARMM merupakan wilayah autonomi di selatan Filipina yang diwujudkan selepas para pengundi meluluskan pemerintahan sendiri yang lebih luas menerusi pungutan suara pada 2019.

Wilayah itu mempunyai sekitar 4.5 juta penduduk dan merangkumi beberapa bahagian Mindanao, pulau kedua terbesar di Filipina, serta Basilan, Tawi-Tawi, Cotabato City dan Kawasan Geografi Khas di Cotabato Utara.

BARMM menggantikan sistem autonomi terdahulu bagi kawasan majoriti penduduk Islam di selatan Filipina.

BERITA sebelum ini melaporkan pungutan suara 2019 diadakan bagi meluluskan Undang-Undang Bangsamoro, yang membuka jalan kepada sistem pemerintahan baharu tersebut.

BAGAIMANA BARMM DITUBUHKAN?

Pada 2014, pemerintah Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), kumpulan pemisah Islam terbesar negara itu, memeterai perjanjian damai bagi menamatkan pemberontakan yang berlarutan selama puluhan tahun.

Pertempuran itu menyebabkan lebih 120,000 orang maut dan sekitar dua juta lagi kehilangan tempat tinggal.

Perjanjian tersebut menetapkan pembentukan sebuah entiti politik autonomi baharu di kawasan majoriti penduduk Islam di selatan Filipina.

Peruntukannya kemudian dimaktubkan menerusi undang-undang pada 2018 yang memberikan wilayah itu kuasa politik dan ekonomi yang lebih luas.

Undang-undang tersebut diluluskan para pengundi menerusi pungutan suara pada 2019, sekali gus mewujudkan BARMM dan sebuah pemerintah sementara untuk mempersiapkan wilayah itu bagi pilihan raya.
Related article image
Para pengundi beratur untuk mengundi dalam pilihan raya Parlimen pertama Wilayah Autonomi Bangsamoro di Mindanao Muslim (BARMM) di Cotabato City, Filipina, pada 14 Sep 2026. (Gambar: REUTERS/Manman Dejeto)
MENGAPA AUTONOMI PENTING?

Para penyokong melihat pemerintahan sendiri yang lebih luas sebagai satu cara menangani masalah kemiskinan, peminggiran dan tahap pembangunan yang rendah, selain mengurangkan sokongan terhadap kumpulan bersenjata dan pelampau.

Keperluan mengekalkan kestabilan di wilayah itu semakin terserlah pada 2017 apabila kumpulan militan yang mempunyai kaitan dengan ISIS menawan Marawi City selama lima bulan.

Pertempuran itu merupakan pertempuran paling buruk di kawasan bandar Filipina sejak Perang Dunia Kedua.

Sejak BARMM diwujudkan, ekonomi wilayah itu menunjukkan peningkatan.

Ekonominya berkembang 5.0 peratus pada 2025, berbanding 3.5 peratus pada 2024 dan lebih tinggi daripada pertumbuhan ekonomi Filipina sebanyak 4.4 peratus.

Kadar kemiskinan turut merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini, meskipun wilayah tersebut masih berdepan cabaran pembangunan.

Para pegawai dan agensi pembangunan melihat potensi besar dalam sektor pertanian, perikanan, sumber marin, tenaga dan galian sekiranya keamanan dan kestabilan dapat dikekalkan.

80 ANGGOTA PARLIMEN DIPILIH

BARMM merupakan satu-satunya wilayah di Filipina yang ditadbir menggunakan sistem Parlimen dengan para pengundi memilih 80 anggota parlimen.

Daripada jumlah itu, 40 merupakan wakil parti yang dipilih menerusi sistem perwakilan berkadar, 32 merupakan wakil daerah dan lapan lagi adalah wakil sektor.

Parlimen yang terbentuk kemudian akan memilih Ketua Menteri wilayah tersebut.

Antara yang bersaing merebut kuasa ialah parti yang dipimpin mantan anggota MILF, kumpulan-kumpulan yang muncul selepas perjanjian damai serta keluarga politik tradisional.

Pilihan raya itu akan melengkapkan peralihan daripada pemerintah sementara yang dilantik kepada pemerintah wilayah yang dipilih rakyat.

Ia juga merupakan kali pertama institusi autonomi BARMM akan diterajui para pemimpin yang mendapat mandat menerusi pilihan raya.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita