Skip to main content

Dunia

Pilihan raya Myanmar masuk fasa terakhir, parti pro-tentera dijangka menang besar

Anggaran Waktu Membaca:
Pilihan raya Myanmar masuk fasa terakhir, parti pro-tentera dijangka menang besar
Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya Kesatuan menyediakan mesin mengundi elektronik di sebuah pusat pengundian, sehari sebelum fasa ketiga pilihan raya umum, di Yangon, Myanmar, pada Sabtu, 24 Januari 2026. (Gambar: AP/Thein Zaw)
 
Diterbitkan : 25 Jan 2026 11:53AM Dikemas Kini : 25 Jan 2026 11:54AM
YANGON: Pusat-pusat mengundi di Myanmar dibuka pada Ahad (25 Jan) bagi pusingan terakhir pilihan raya di negara itu, dengan parti pro-tentera dijangka menang dan ketua junta dijangka memainkan peranan politik selepas pilihan raya itu.

Dua fasa pilihan raya sebelumnya yang diadakan pada 28 Disember dan 11 Januari, mencatatkan kadar keluar mengundi yang rendah sekitar 55 peratus, iaitu jauh bawah kadar keluar mengundi sekitar 70 peratus yang dicatatkan dalam pilihan raya umum Myanmar 2020 dan 2015.


Para pengundi di 60 kota kecil akan keluar mengundi, termasuk di bandar-bandar utama Yangon dan Mandalay, di tengah-tengah perang saudara yang tercetus susulan rampasan kuasa yang menyebabkan tentera berkuasa.

Meskipun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, beberapa pemerintah Barat dan kumpulan hak asasi mengutuk pilihan raya itu sebagai satu gerakan palsu untuk mengekalkan kuasa pemerintahan tentera, junta Myanmar berjanji akan memindahkan kuasa kepada pentadbiran baharu, kemungkinan besar pada April.

Junta tentera mengambil alih kawalan negara Asia Tenggara yang miskin itu dalam rampasan kuasa pada 1 Februari 2021, setelah ia menggulingkan pemerintah awam dipilih yang diketuai oleh pemenang Hadiah Keamanan Nobel Aung San Suu Kyi.

Ahli politik berusia 80 tahun itu masih ditahan dan seperti beberapa kumpulan pembangkang lain, Liga Kebangsaan untuk Demokrasi pimpinan beliau dibubarkan oleh junta tentera, sekali gus memberi kelebihan kepada parti yang disokong tentera yang mendahului kedudukan undi.

Malaysia, yang tahun lalu mempengerusikan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara yang terdiri daripada 11 ahli, pada Selasa (20 Jan) menyatakan blok itu menolak tawaran daripada Myanmar untuk menghantar pemantau pilihan raya dan tidak akan menyokong pilihan raya tersebut.

Pertempuran berterusan sepanjang kempen pilihan raya dan fasa undi sebelumnya di kebanyakan bahagian Myanmar, termasuk serangan udara di sekitar kawasan awam di negeri-negeri sempadan Rakhine, Shan dan Kayin.

PERALIHAN TENTERA

Setakat ini, Parti Solidariti dan Pembangunan Kesatuan yang disokong tentera memperoleh 193 daripada 209 kerusi di dewan rakyat serta 52 daripada 78 kerusi di dewan rakyat, menurut suruhanjaya pilihan raya, sekaligus memberikan parti itu kedudukan dominan.

USDP, yang dibentuk pada tahun 2010 dan mentadbir negara selama lima tahun selepas berakhirnya pemerintahan tentera sebelumnya, dipengerusikan oleh seorang brigadier jeneral bersara dan dianggotai mantan pegawai tinggi yang lain.

Tentera Myanmar, yang memerintah negara itu selama lima daripada enam dekad yang lalu, nampaknya tidak mempunyai niat sebenar untuk menarik diri daripada peranan kepimpinan politiknya.

Ketua junta berusia 69 tahun, Min Aung Hlaing, memberi isyarat bahawa beliau sedang mempertimbangkan untuk melantik pengganti sebagai ketua angkatan tentera dan kemungkinan akan beralih kepada peranan politik sepenuhnya, lapor Reuters.
Sumber : Reuters/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita