Pilihan Raya Majlis Daerah HK: Calon pro-demokrasi menang besar di tengah-tengah krisis politik
Calon-calon pro-demokrasi di Hong Kong menang besar dan meraih undi majoriti yang simbolik dalam Pilihan Raya Majlis Daerah.

Penyokong pro-demokrasi meraikan kemenangan. (Gambar: AFP / PHILIP FONG)
HONG KONG: Calon-calon pro-demokrasi di Hong Kong menang besar dan meraih undi majoriti yang simbolik dalam Pilihan Raya Majlis Daerah.
Ini berikutan jumlah rekod penduduk yang keluar mengundi semalam (24 Nov) menyusuli bantahan-bantahan anti-pemerintah yang sudah belarutan selama enam bulan.
Calon-calon demokrat di bandar yang mempunyai 7.4 juta penduduk itu meraih lebih separuh daripada 452 kerusi majlis daerah buat pertama kalinya.
Sebahagian calon yang menang berkata keputusan itu seperti menunjukkan sokongan kepada gerakan bantahan dan mungkin menambah tekanan ke atas Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam di tengah-tengah krisis politik paling buruk di bandar itu dalam beberapa dekad.
"Inilah kuasa demokrasi. Ini tsunami demokrasi," kata Encik Tommy Cheung, bekas ketua bantahan pelajar yang memenangi kerusi di daerah Yuen Long berdekatan sempadan China.
Ramai yang datang mengundi awal kerana khuatir kemungkinan berlakunya gangguan sehingga menyebabkan pusat-pusat mengundi ditutup awal.
Sehingga pukul 5 pagi tadi, calon-calon pro-demokrasi sudah meraih undi majoriti dengan sekurang-kurangnya 283 kerusi, berbanding hanya sekitar 32 kerusi yang dimenangi pasukan pro-pemerintah, menurut anggaran media tempatan. Seramai 1,104 calon merebut 452 kerusi dalam pilihan raya kali ini, sekali gus mencatat jumlah rekod.
Ketua Ehwal Pilihan Raya Barnabus Fung berkata sekurang-kurangnya 2.94 juta orang keluar mengundi, iaitu kadar rekod melebihi 71 peratus yang dipercayai kesan daripada pergolakan di Hong Kong.
Kira-kira 1.47 juta orang keluar mengundi dalam Pilihan Raya Majlis Daerah terakhir empat tahun lalu.
"Prestasi pasukan pro-demokrasi akan memberi satu isyarat kepada Beijing," kata Encik Andrew Li, seorang mahasiswa berusia 22 tahun yang menyokong calon pro-demokrasi. "Perbuatan tidak mengendahkan tuntutan masyarakat mendorong penduduk Hong Kong untuk keluar mengundi."
Para penunjuk perasaan begitu marah terhadap apa yang dilihat sebagai campur tangan China dalam hak kebebasan yang dijanjikan kepada bekas tanah jajahan British itu apabila ia dikembalikan kepada China pada 1997.
China bagaimanapun menafikan sebarang campur tangan dan menyatakan ia komited kepada formula "satu negara, dua sistem" bagi autonomi Hong Kong. Menurut polis, ia sudahpun menahan diri apabila berdepan serangan-serangan yang mungkin membawa maut.
Encik Jimmy Sham, seorang calon bagi Barisan Hak-Hak Kemanusiaan Sivil, yang menganjurkan sebahagian tunjuk perasaan anti-pemerintah, menang di kerusi yang ditandinginya dan berkata jumlah orang yang keluar mengundi adalah tanda pemerintah perlu mendengar suara mereka.
"Ini adalah pilihan raya yang istimewa kerana ia adalah pertembungan formal antara pro-pertubuhan dengan pro-demokrasi setelah berbulan-bulan berlakunya pergolakan disebabkan kesilapan langkah pemerintah langkah," kata beliau.
"Ini adalah kemenangan bagi orang-orang Hong Kong."
Calon-calon pro-demokrasi lain yang berjaya termasuk Lester Shum, bekas ketua pelajar yang menyertai gerakan payung di Hong Kong pada 2014 dan juga Kelvin Lam, yang menyertai pilihan raya itu selepas aktivis Joshua Wong dilarang daripada bertanding.
Beberapa orang berpengaruh pro-Beijing termasuk Junius Ho, yang cedera dalam satu serangan pisau bulan ini tewas di tangan pencabarnya dari pihak pro-demokrasi.
Dalam satu catatan di laman Facebooknya, Encik Ho berkata tahun ini adalah "tahun luar biasa, pilihan raya luar biasa dan keputusanya juga luar biasa".
Sebahagian ahli politik veteran pro-Beijing berkata kekalahan mereka disebabkan rasa tidak puas hati yang lebih meluas.
"Kekalahan kami bukan disebabkan kerja-kerja kami di daerah-daerah tempatan, sebaliknya ia disebabkan sentimen politik," kata Encik Horace Cheung, yang meraih 500 lebih banyak undi tahun ini berbanding empat tahun lalu namun tetap tewas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.