Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands: Calon BN akur kerjasama BN, PAS sumbang kemenangan
Calon Pakatan Harapan (PH) Encik M. Manogaran menerima kekalahan untuk kali ketiga dengan hati terbuka apabila ditewaskan pesaing utamanya Encik Ramli Mohd Noor daripada Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil Parlimen Cameron Highlands pada Sabtu (26 Jan).
Encik Ramli Mohd Noor. (Gambar: Ramli Mohd Nor/Facebook)
TANAH RATA: Calon Pakatan Harapan (PH) Encik M. Manogaran menerima kekalahan untuk kali ketiga dengan hati terbuka apabila ditewaskan pesaing utamanya Encik Ramli Mohd Noor daripada Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil Parlimen Cameron Highlands pada Sabtu (26 Jan).
Encik Manogaran, 61 tahun, berkata beliau berharap Encik Ramli Mohd Noor yang sudah diberi mandat oleh pengundi parlimen itu akan menjalankan tugasnya dengan baik dan menyuarakan segala masalah di parlimen kelak.
"Kami menerima keputusan pengundi dan saya mengucapkan tahniah kepada Encik Ramli atas pencapaiannya. Saya berharap beliau akan menjalankan tanggungjawab sebagai anggota parlimen Cameron Highlands dan mewakili semua penduduk Cameron Highlands.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas pada jam 8.00 malam pada Sabtu (26 Jan) di Bilik Operasi Pakatan Harapan Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands di Brinchang.
Encik Manogaran yang dilihat sugul berkata pihaknya mengadakan sidang media sebelum pengumuman keputusan rasmi dibuat kerana sudah menjangkakan kekalahan itu.
“Kami sudah memperoleh semua keputusan tidak rasmi. Walaupun kalah, saya berpendapat bahawa ada perkara-perkara positif untuk diambil perhatian di sini, katanya.
“Kami sudah menembusi kawasan Orang Asli terutama di Jelai, Ia menunjukkan bahawa pada masa akan datang, kami akan memperolehi sokongan lebih baik di sana,” katanya ketika menarik perhatian kepada lima kawasan Orang Asli – Pos Senderut, Pos Titom, Pos Betau, Pos Lanai dan Pos Lenjang.
Encik Manogaran turut berjanji akan terus berkhidmat sebagai penyelaras PH Parlimen Cameron Highlands di kedua-dua DUN - Tanah Rata dan Jelai.
Sementara itu, Encik Ramli Mohd Nor yang memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands menzahirkan ucapan terima kasih kepada kesemua pengundi yang memberi mandat dan kepercayaan kepada beliau.
Dalam sidang media ringkas sejurus selepas keputusan rasmi diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands, Encik Ishak Md Napis di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah, Encik Ramli turut berterima kasih kepada jentera BN yang berusaha keras dalam memastikan kemenangan beliau.
"Saya bersyukur kerana dengan izin Allah saya memenangi kerusi ini. Terima kasih kepada jentera BN, iaitu MIC,MCA, tidak lupa juga kepada PAS," kata beliau secara ringkas.
Encik Ramli meraih 12,038 undi untuk menewaskan calon PH Encik M.Manogaran (8,800 undi), dan dua calon Bebas, Encik Sallehudin Ab Talib (314 undi) dan Encik Wong Seng Yee yang memperoleh 276 undi.
Dengan kemenangan ini, BN mengekalkan penguasaannya di kerusi Parlimen Cameron Highlands buat penggal kelima berturut-turut sejak 2004 menerusi calon MIC.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.